Budaya politik fitnah tidak layak dipertahankan - AMK P Pinang
- Redzuan Shamsudin
- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan mahkamah menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad disifatkan sebagai bukti jelas bahawa politik berasaskan fitnah tidak layak dipertahankan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (gambar) berkata begitu sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat yang mengekalkan perintah supaya pemimpin Pas itu membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP susulan kenyataan fitnah mengaitkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
"Keputusan berkenaan menegaskan bahawa sebarang tuduhan tanpa asas fakta tidak boleh dipandang ringan kerana ia membawa implikasi undang-undang yang serius.
"Ia juga memperlihatkan bahawa prinsip kebertanggungjawaban tetap terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan, termasuk Ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama, Muhammad Zakwan menyuarakan kebimbangan terhadap budaya politik yang menggunakan tuduhan tidak berasas sebagai alat untuk meraih sokongan tanpa mengambil kira kesan terhadap reputasi individu serta keharmonian masyarakat.
Tegasnya, serangan fitnah yang berulang itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti serta kebertanggungjawaban kepimpinan terlibat.
"Ini menggambarkan satu realiti yang membimbangkan, di mana fitnah dilemparkan terlebih dahulu, manakala pembetulan hanya berlaku selepas proses perundangan atau tekanan awam," katanya sambil merujuk kes fitnah melibatkan Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail baru-baru ini.
Beliau sementara itu menegaskan, politik fitnah bukan sahaja merendahkan mutu demokrasi, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara tambahan apabila ia melibatkan pemimpin-pemimpin yang mendakwa mewakili parti yang membawakan imej Islam.
"Menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas jelas bertentangan dengan prinsip asas Islam yang menuntut kebenaran, amanah serta larangan keras terhadap fitnah.
"Tindakan segelintir pemimpin PAS dilihat tidak selari dengan nilai-nilai tersebut, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti moral yang sepatutnya dijunjung," kata kenyataan itu lagi.
