'Budaya buli rosakkan jiwa, ancam nyawa, masa depan anak-anak'
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 1 min read

Wanita KEADILAN Sabah bersama Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah menegaskan pendirian untuk menentang sekeras-kerasnya budaya buli dalam apa jua bentuk — fizikal, emosi, mental mahupun siber.
"Budaya buli bukan sahaja merosakkan jiwa, malah mengancam nyawa dan masa depan anak-anak kita," kata Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah merangkap Ketua Wanita KEADILAN Sipitang, Junaidah Makku @ Junn (gambar) dalam kenyataan media hari ini.
Beliau merujuk kepada kes kematian pelajar Tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah asrama di Sabah, serta insiden membimbangkan yang menimpa anak kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli.
"Kedua-dua kes ini menuntut perhatian serius, siasatan telus serta keadilan yang sewajarnya," kata beliau.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN Sabah dan Wanita PH Sabah menyeru agar seluruh masyarakat — termasuk institusi keluarga, sekolah, komuniti serta pihak berkuasa — agar berganding bahu dalam membanteras budaya buli dan menolak sebarang usaha menormalisasikannya; Melindungi golongan rentan khususnya wanita dan kanak-kanak; Menyediakan sokongan moral, emosi dan advokasi kepada mangsa; dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku buli demi memberi mesej jelas bahawa budaya itu tidak boleh diterima.
"Wanita KEADILAN Sabah dan Wanita PH Sabah komited memperjuangkan kesedaran, pendidikan serta advokasi agar setiap anak dan wanita dapat hidup dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada penindasan," kata Junaidah lagi.









Comments