Budaya anak muda: Semakin kurang membaca, tular, popular penentu sokongan
- Sidiqin Omar

- 2 hours ago
- 2 min read

Budaya penulisan, pertukaran idea dan perkembangan gagasan dalam media alternatif menjadi antara faktor utama yang menggerakkan kebangkitan anak muda ketika era reformasi, kata Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Pahang, Zukri Aksah.
Menurut beliau, generasi muda pada era awal reformasi banyak dipengaruhi oleh budaya membaca dan perbahasan idea melalui internet, laman web dan blog yang menjadi medium penting ketika itu.
"Yang menggerakkan kebangkitan anak muda di zaman reformasi dan awal KEADILAN dulu ialah internet, ‘webzine’, laman web dan blog.
"Maksudnya kesemua itu adalah wadah penulisan, idea, gagasan dan pandangan. Inilah yang menggerakkan anak muda ketika itu, iaitu pembacaan," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas strategi KEADILAN Pahang untuk mendekati pengundi muda dan pengundi kali pertama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Zukri, golongan muda sememangnya mempunyai sifat skeptikal terhadap kelompok “establishment” dan keadaan itu bukan sesuatu yang baharu dalam politik.
Katanya, sebagai bekas pimpinan Angkatan Muda KEADILAN suatu ketika dahulu, beliau memahami corak pemikiran generasi muda yang cenderung mempersoalkan sistem dan kuasa politik semasa.
"Saya pernah muda dan pernah menjadi Exco Angkatan Muda KEADILAN Malaysia antara tahun 2003 hingga 2007.
"Sebab itu saya faham generasi remaja dan anak muda ini biasanya mencurigai ‘establishment’," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan landskap media sosial hari ini memberi cabaran lebih besar kepada parti politik kerana kandungannya lebih menjurus kepada elemen tular dan populariti berbanding pembinaan idea serta budaya ilmu.
Menurutnya, platform media sosial seperti TikTok dan Instagram kini lebih menekankan kandungan pantas yang kurang menggalakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda.
"Anak muda hari ini hidup dalam dunia media sosial yang sangat rencam kandungannya.
"Media sosial baru seperti TikTok dan Instagram tidak lagi mengajar pengikutnya membaca, tetapi lebih kepada suapan kandungan yang mementingkan tular dan popular," ujarnya.
Beliau berkata keadaan itu kadangkala memberi kesan negatif kepada pemikiran generasi muda dan menjadi cabaran besar kepada parti politik dalam menyampaikan mesej secara lebih mendalam.
Sehubungan itu, kata beliau, KEADILAN tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan konvensional seperti turun padang semata-mata, sebaliknya perlu memasuki ruang media sosial anak muda dengan kandungan yang lebih membina.
"Mahu tidak mahu kita perlu masuk ke dalam dunia media sosial mereka dan kembali menyuntik satu perkara yang asas, iaitu Iqra’ (membaca)," katanya.
Dalam perkembangan sama, Zukri berkata KEADILAN Pahang turut memperkukuh persiapan menghadapi PRU16 menerusi penambahan anggota dan pengukuhan organisasi parti di peringkat cabang.
Menurut beliau, sehingga April lalu, KEADILAN Pahang mencatatkan penambahan keanggotaan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.




Comments