Wanita KEADILAN Sarikei anjur bengkel kuih muih, perkasa usahawan wanita
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Wanita KEADILAN Sarikei, Sarawak pada Ahad lalu menganjurkan program “Dapur Rezeki Wanita Sarikei: Bengkel Kuih Muih & Keusahawanan Komuniti” di kawasan DUN Meradong bagi memperkasa kemahiran wanita dalam bidang makanan tradisional dan keusahawanan komuniti.
Program tersebut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran komuniti, khususnya golongan wanita, dalam penghasilan kuih muih tradisional yang menjadi warisan serta identiti budaya pelbagai kaum di Sarawak.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, peserta bukan sahaja didedahkan dengan teknik penyediaan kuih muih warisan, malah turut menerima pendedahan mengenai asas keusahawanan sebagai langkah awal menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan tambahan.
"Wanita KEADILAN Sarikei berharap program seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai usahawan wanita tempatan yang berani menceburi bidang perusahaan makanan tradisional serta memperkukuhkan industri kecil dan sederhana dalam komuniti setempat," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menggalakkan wanita yang berminat dalam bidang perniagaan kecil-kecilan agar memanfaatkan peluang pembiayaan melalui Skim i-PADURI MADANI yang diperkenalkan Kerajaan MADANI.
Menurutnya, skim pembiayaan yang lebih mesra rakyat dan tidak mengenakan syarat ketat itu boleh dipohon melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di daerah masing-masing bagi membantu usahawan wanita memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Selain memperkukuhkan kemahiran peserta, bengkel tersebut turut menjadi platform untuk komuniti wanita bertukar pengalaman, berkongsi resipi tradisional warisan keluarga serta membina jaringan sokongan sesama peserta.
"Program ini secara tidak langsung berjaya memupuk semangat kerjasama, mempererat hubungan silaturahim dan meningkatkan keyakinan wanita untuk terus maju dalam bidang keusahawanan komuniti," katanya.
Tambah beliau, Wanita KEADILAN Sarikei komited meneruskan program pembangunan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya dalam memperkasa golongan wanita di kawasan luar bandar.




Comments