Enam Ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin - Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Wanita KEADILAN Pusat mendesak enam Ahli Parlimen parti itu menghentikan segera sebarang gerakan politik yang disifatkan sebagai “bermain dua kolam” atau berdepan tindakan disiplin tegas daripada parti.
Setiausaha Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar (gambar) berkata, kesetiaan kepada prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan agenda Reformasi tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pimpinan atau ahli parti yang telah diberi mandat oleh rakyat atas tiket parti.
"Wanita KEADILAN memandang serius terhadap tindakan dan pendekatan politik ‘dua kolam’ atau bermuka-dua yang dilihat sedang dimainkan oleh segelintir pimpinan. Permainan politik seumpama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan parti, malah mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi yang telah bertungkus-lumus membina wadah perjuangan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, enam Ahli Parlimen yang dinamakan ialah Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau), Zahir Hassan (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Kesavan Subramaniam (Ahli Parlimen Sungai Siput) dan Lee Chean Chung (Ahli Parlimen Petaling Jaya).

Katanya, kehadiran mereka pada majlis pengumuman pengambil alihan Parti Bersama Malaysia Ahad lalu telah menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan mereka terhadap KEADILAN.
"Sekiranya idealisme dan hala tuju masa depan individu-individu ini sudah tidak lagi selari dengan prinsip institusi Presiden dan KPI perjuangan KEADILAN, jalan paling terhormat adalah untuk mereka melepaskan keanggotaan parti secara sukarela dengan serta-merta tanpa perlu terus menjadi duri dalam daging," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Wanita KEADILAN akan mendesak Lembaga Disiplin Parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil tindakan paling tegas termasuk pemecatan sekiranya perkara itu terus berlarutan.
"KEADILAN tidak dibina untuk menjadi batu loncatan bagi mana-mana individu yang mahu mengutamakan kelangsungan politik peribadi melebihi agenda besar rakyat dan parti. Pengajaran lalu telah mematangkan kita, tiada ruang lagi untuk pengkhianatan berbentuk baharu di dalam rumah Reformasi ini," katanya lagi.




Comments