Bubar Parlimen: Kabinet, bukan PM mempunyai kuasa nasihati Agong?
- Suara Keadilan
- Oct 6, 2022
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Malaysia digambarkan mempunyai kuasa tersendiri atau prerogatif dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Hal itu dibantah oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang berkata kuasa berkaitan pembubaran Parlimen tidak ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dimiliki oleh seorang PM.
"Tidak ada di mana-mana dalam Perlembagaan menyatakan Perdana Menteri ada kuasa prerogatif, termasukkah dalam soal pembubaran Parlimen.
"Demokrasi di Malaysia adalah demokrasi berparlimen. PM hanya seorang Ahli Parlimen biasa yang mengetuai Jemaah Menteri atau Kabinet.
"Kabinet berkuasa termasuk dalam soal menasihati Yang diPertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen. Kenapa PM tiada kuasa prerogatif?
"Kerana Perdana Menteri tidak dipilih oleh Rakyat di seluruh Malaysia. Tidak seperti seorang Presiden dalam sistem republik," katanya dalam satu kenyataan.
Hassan yang juga seorang pengamal undang undang merujuk Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Agong bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri.
Dalam situasi sekarang, katanya, PM boleh mengadap Agong pada bila bila masa dan tiada isu Perlembagaan
Cuma yang menimbulkan masalah, adakah Jemaah Menteri telah membuat keputusan bersetuju supaya Perdana Menteri pergi mengadap Yang diPertuan Agong untuk menasihati Baginda membubarkan Parlimen?
"Setakat ini tidak ada keputusan soal pembubaran Parlimen diputuskan oleh Jemaah Menteri.
"Siapa yang telah buat keputusan supaya Perdana Menteri mengadap Agong dan membubarkan Parlimen?
"Orang itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang disokong oleh Majlis Tertinggi Umno. Tetapi Umno bukan Jemaah Menteri.
"Jadi kalau Perdana Menteri mengadap Agong untuk menasihati Baginda membubarkan Parlimen berdasarkan tekanan Presiden Umno dan Umno tetapi bukan oleh keputusan Jemaah Menteri maka nasihat PM kepada Yang diPertuan Agong boleh dianggap tidak sah atau ultra-vires dari segi undang-undang," katanya.
Tambah Hassan lagi, keputusan yang ultra-vires mungkin boleh dicabar di Mahkamah melalui Semakan Kehakiman ataupun Judicial Review.
Comments