top of page

Bubar DUN S'gor: Jangan baling batu, sembunyi tangan - Pemuda Amanah Shah Alam

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Aug 18
2 min read

Pemuda AMANAH Shah Alam mengingatkan Umno-BN Selangor supaya tidak sekadar mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) sebaliknya membuktikan kekuatan mereka menerusi kerja, dasar dan hujah yang mampu meyakinkan rakyat.


Naib Ketua Pemuda AMANAH Shah Alam, Amirul Izwan (gambar) berkata rakyat Selangor mampu menilai rekod setiap parti termasuk percaturan politik yang pernah dimainkan sebelum ini.


"Kalau benar yakin rakyat Selangor menolak Kerajaan Negeri hari ini, buktikan melalui kerja, dasar dan hujah.


"Jangan hanya mencabar pembubaran Dewan Negeri. Kerana pilihanraya bukan pentas untuk menguji siapa paling kuat bercakap. Ia adalah medan untuk rakyat menilai siapa yang benar-benar bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop yang mencabar Amirudin supaya membubarkan DNS sekiranya yakin dengan sokongan rakyat terhadap pentadbirannya.


Amirul berkata, Umno-BN tidak seharusnya melupakan sejarah percaturan politiknya sendiri termasuk naratif “penyatuan ummah” yang digunakan dalam politik negara.


Menurutnya, sekiranya konsep penyatuan ummah benar-benar mahu diperjuangkan, ia sewajarnya melibatkan sebuah khemah besar merangkumi semua parti dan kelompok Melayu-Islam, bukannya terhad kepada parti tertentu.


"Jangan hari ini menuding jari kepada orang lain seolah-olah Umno-BN tidak pernah mempunyai sejarah bermain dengan percaturan politik yang sama.


"Jangan baling batu, kemudian sembunyi tangan," katanya.


Pada masa sama, Amirul meminta Muadzam melihat prestasi Kerajaan Negeri Selangor secara menyeluruh dan tidak hanya memainkan retorik politik.


Katanya, Selangor terus melaksanakan agenda pembangunan, pendidikan dan kebajikan rakyat termasuk inisiatif membantu mengurangkan beban pendidikan anak muda negeri itu.


Beliau turut mengingatkan bahawa parti-parti yang kini membentuk Kerajaan Perpaduan mempunyai sejarah serta janji politik masing-masing.


Justeru itu jelas beliau tidak wajar segala kelemahan yang berlaku diletakkan semata-mata kepada Pakatan Harapan (PH).


"Pemuda Umno Selangor juga wajar belajar menghormati semangat Kerajaan Perpaduan yang sedang dibina.


"Kalau masih mahu berada dalam satu kerajaan, maka hormatilah prinsip kerjasama yang telah dipersetujui.


"Jangan pada siang hari duduk bersama dalam kerajaan, tetapi pada sebelah malam pergi membawa naratif politik yang bertentangan dengan semangat kerjasama tersebut," katanya.


Amirul menegaskan semangat Kerajaan Perpaduan perlu diamalkan secara konsisten dan bukan hanya ketika ia memberikan keuntungan politik kepada pihak tertentu.


Untuk rekod, Muadzam bukan nama baharu dalam politik Shah Alam.


Beliau pernah mengetuai Pemuda Umno Bahagian Shah Alam dan pada PRU14 dipertaruhkan BN sebagai calon DUN Batu Tiga.


"Kalau prinsipnya ialah Kerajaan Perpaduan, maka semangat perpaduan itu mesti diamalkan secara konsisten, bukan ketika menguntungkan, dan ditinggalkan apabila mahu mencari publisiti politik.


"Siapa baling batu, sembunyi tangan. Rakyat Selangor boleh menilai," kata Amirul lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page