Bubar DUN Selangor 19 Jun: Azmin mimpi di siang hari lagi?
- Redzuan Shamsudin
- Jun 5, 2023
- 2 min read

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Azmin Ali mungkin tidak serik bermimpi di siang hari.
Kali ini, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, Azmin bermimpi bahawa DUN Selangor dibubarkan pada 19 Jun sebagaimana diucapkan dalam ceramahnya di Tanjung Karang malam tadi, sedangkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah menyatakan akan menghadap Sultan Selangor pada minggu ketiga Jun.
"Kononnya (beliau) tidak perlu tunggu Menteri Besar Selangor umum dan isytihar pembubaran Kerajaan Negeri Selangor bagi menghadapi PRN adalah pada 19 Jun ini.
"Mungin beiau (berkata demikian sebab) masih rasa tertekan oleh kekalahan teruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 di tangan Datuk Menteri Besar (MB) di Parlimen Gombak pada November tahun lalu. Ini jelas membuktikan bahawa pengundi pengundi #GombakBermaruah sudah muak dan menolak cara "Si Kitol" mengatur Langkah Sheraton yang sememangnya tidak diiktiraf (rakyat).
"Maka dengan kuasa peti undi Azmin dinoktahkan mutlak dengan kekalahan majoriti 12,729 undi kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan Menteri Besar ke 16 Selangor," kata Halimey dalam kenyataan petang ini.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sri Setia itu lagi, Azmin yang lantang berceramah kini tidak lagi mempunyai bakat menyusun fakta sebagaimana beliau dalam KEADILAN tempoh hari.
Ceramah beliau yang melabelkan gabungan PH dan BN sebagai 'Kerajaan luar tabii' telah terikut ikut kebebalan minda pemimpin Pas apabila menyindir 'janji' Pengerusi PH itu 'jika hari ini menang, esok harga minyak' turun. Sedangkan, janji itu dibuat pada PRU 2013.
"Merujuk labelan beliau "Kerajaan luar tabii" ke atas kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dengan mengaitkan modal politik lapuk ucapan PM itu sewaktu menjadi Ketua Pembangkang suatu ketika dahulu, beginikah tahap berhujahnya Azmin selaku Pengerusi PN Selangor?
"Menyorot kembali tempoh 33 bulan beliau menjadi Menteri Ekonomi, adakah masalah inflasi selesai, masalah matawang negara bertambah baik atau isu OPR selesai sebagaimana dituduh Kerajaan Perpaduan gagal? Malah jumlah hutang yang telah ditinggalkan oleh kerajaan 33 bulan itu sudah hampir RM1.3 trilion," katanya.
Selain itu, Halimey mencabar Azmin yang bercita cita untuk menjadi MB agar bertanding mempertahankan kerusinya di DUN Bukit Antarabangsa dan jangan melarikan diri ke kawasan selamat.
"Kalau beliau benar-benar anak jantan, beliau bertanding dan pertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandang beliau selama 3 penggal. Usah lagi bermimpi di siang hari dan melarikan diri untuk bertanding di DUN lain," katanya.
Bagaimanapun cita cita Azmin untuk menjadi MB buat kali kedua, kata Halimey, mungkin tidak kesampaian sekiranya PN mengamalkan polisi ketua kerajaan negeri dilantik daripada anak jati negeri berkenaan.
"Memetik ucapan MB Kedah, Datuk Seri Sanusi selaku Pengarah Pilihanraya PN bahawa PN seharusnya melantik anak kelahiran Selangor untuk diangkat sebagai MB yang ke 17 sekiranya mereka memenangi PRN.
"Sekiranya benar, maka Azmin bukanlah pilihan PN untuk ke jawatan MB Selangor disebabkan beliau anak kelahiran Singapura.
"Rakyat dan pengundi Selangor akan menghakimi sekali lagi pemimpin yang suka bermimpi di siang hari pada PRN Selangor nanti," kata beliau lagi.
Comments