Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai rancangan membawa negara menyertai kerjasama ekonomi BRICS kerana banyak negara lain juga mempunyai hubungan dengan blok ekonomi barat telah menyertai BRICS yang dikuasai China dan Rusia.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hubungan dengan blok ekonomi barat sekalipun, bukan semua dasar disokong oleh Malaysia, begitu juga dalam BRICS.
"Dalam hubungan dengan negara barat, termasuk APEC kita tidak bersetuju dalam semua hal. Ada petentangan, perbezaan besar dalam isu Gaza (Palestin), negara berkembang (membangun) dan persaingan pedagangan dengan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia).
"BRICS ini (ada menyangkut) sistem negara, walau China (ideologi komunis) atau Rusia itu berbeza tetapi dalam hubungan dagangan dan kerjasama, mereka negara yang rapat dengan kita.
"Tetapi ada juga negara yang dalam BRICS termasuk Afrika Selatan atau India yang mengamalkan demokrasi yang dekat dengan kita.
"Ini juga tidak menghalang hubungan. Di samping itu negara seperti UAE, India itu ada hubungan dagang, kerjasama ekonomi bersama AS, Eropah yang tidak bersama dengan BRICS.
"Jadi tidak ada sebab mengapa kita dan negara ASEAN yang turut memohon merasakan bimbang kerana ketetapan kita bukan mencampuri urusan politik domestik negara masing masing tetapi menekankan keutamaan perdagangan, ekonomi dan memperluaskan jaringan supaya negara dan rakyat serta pelabur memperolehi manfaat," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Tegas PM, tiada sebab Malaysia harus ketinggalan dalam kerjasama ekonomi BRICS yang sama sekali tidak melibatkan politik.
"Bila kita lihat negara ini (jiran Asia) dalam APEC, OECD dan dalam BRICS, tidak ada sebab Malaysia harus terkecuali dalam perkembangan sedemikian," katanya lagi.
Comments