Bolehkah Najib Razak Jadi Calon Pilihan Raya?



Oleh: Hassan Abdul Karim


Senario Pertama


Jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan sebelum rayuan Najib Razak didengar di Mahkamah Persekutuan, bolehkah beliau menjadi calon?


Jawapannya tidak boleh kerana Najib telah kehilangan kelayakan menjadi Ahli Parlimen di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.


Najib telah disabitkan kesalahan jenayah dan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan hukuman tersebut telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia.


Rayuan Najib telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.


Adakah penggantungan perlaksanaan hukuman penjara dan denda (stay of execution) yang diberi oleh Mahkamah Rayuan bermakna Najib boleh jadi calon pilihan raya?


Penggantungan perlaksanaan hukuman hanya setakat Najib tidak dipenjarakan sekarang dan tidak membayar denda RM210 juta sekarang.Tetapi sabitan kesalahannya (conviction) tidak digantung atau ditangguh. Sabitan (conviction) ke atas Najib kekal. Dengan hukuman penjara melebihi satu tahun dan denda melebihi RM2,000 bermakna jika PRU-15 diadakan bila-bila masa sekarang bermakna Najib tidak boleh jadi calon pilihan raya.


Senario Kedua


Bolehkah Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib Razak sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Najib untuk membolehkan Najib menjadi calon PRU-15?


Jawapannya tidak. Yang di-Pertuan Agong terikat dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 42(1) dan 42(2) di mana kuasa Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum hanya boleh dilakukan selepas kesalahan seseorang itu dibicarakan di Mahkamah Undang-Undang.


Ini bermakna Najib tidak boleh memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebelum Rayuannya di Mahkamah Persekutuan didengar dan diputuskan.


Senario Ketiga


Cara mana Najib Razak boleh jadi calon PRU-15?


Hanya ada dua jalan sahaja.


Pertama Najib berjaya dalam Rayuannya di Mahkamah Persekutuan. Maksudnya Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membawa kesan sabitan dan hukuman penjara dan denda ke atas Najib dibatalkan.


Kedua, jika Mahkamah Persekutuan juga menolak rayuan Najib dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, maka satu-satu jalan yang ada pada Najib untuk layak menjadi calon PRU-15 ialah dengan mendapatkan pengampunan Diraja dari Yang di-Pertuan Agong.


Kesimpulannya, tarikh bilakah PRU-15 akan diadakan dan bilakah tarikh rayuan Najib akan didengar di Mahkamah Persekutuan serta apakah keputusan Mahkamah Persekutuan itu nanti adalah faktor-faktor yang penting untuk menentukan sama ada Najib layak menjadi calon PRU-15 atau pun tidak.

________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang. Beliau juga merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER