Bolehkah Agong, Sultan Terlibat Aktif Dalam Perniagaan?




Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN PIMPINAN: Pada masa sekarang terdapat kecenderungan sebahagian sultan-sultan pemerintah negeri yang terlibat secara aktif dalam perniagaan atau komersial.


Dari segi undang-undang bolehkah Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan pemerintah negeri berbuat demikian?


Sultan-sultan pemerintah negeri terikat dan tertakluk kepada perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing. Sama ada wujud peruntukan undang-undang yang melarang atau membenarkan sultan pemerintah negeri terlibat aktif dalam perniagaan atau komersial bergantung kepada perlembagaan negeri masing-masing. Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan. Perlembagaan negeri masing-masing berbeza-beza.


Tetapi kita hanya ada satu kerajaan pusat dan ada satu Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan atau komersial.


Menurut Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial”.


Undang undang Persekutuan terpakai di negeri


Adakah Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan itu terpakai di peringkat sembilan negeri-negeri itu yang mempunyai raja pemerintah?


Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”


Sembilan negeri yang ada sultan pemerintah itu berada di dalam Persekutuan Tanah Melayu menurut Perjanjian Tahun 1948 dan kemudian Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 melalui Perjanjian Malaysia. Jadi undang-undang utama yang perlu dipatuhi oleh semua negeri-negeri di dalam persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem federalisme ialah Perlembagaan Persekutuan.


Ini bermakna larangan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat sultan-sultan pemerintah negeri.


Mengelak konflik kepentingan


Malahan ada kebijaksanaan yang terserlah di sebalik Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan yang melarang Yang di-Pertuan Agong daripada terlibat secara aktif di dalam perniagaan atau komersial. Pertamanya untuk mengelak wujudnya pertentangan kepentingan (conflict of interest). Keduanya, untuk menjaga maruah dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dari sebarang pertikaian undang-undang yang boleh membawa baginda terheret ke mahkamah (Mahkamah Khas).


Hal yang sama juga berlaku di peringkat negeri jika sultan-sultan pemerintah negeri terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan atau komersial. Malah kuasa kerajaaan Negeri amat besar dalam hal-hal seperti tanah dan air, baik di daratan atau di lautan. Pertentangan kepentingan akan berlaku dan tentu sekali akan menyusahkan pimpinan Kerajaan Negeri jika sultan-sultan di sesuatu negeri terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan atau komersial.


Demi menjaga nama baik institusi diraja, di mana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mewakili kekuasaan rakyat dan raja berperlembagaan mewakili institusi feudal diraja, ada bijaksananya jika Perdana Menteri yang ada sekarang memberi nasihat agar perkara ini dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.


_______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang. Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan bukan pendirian Suara Keadilan

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER