Boikot sidang khas: ‘Nak bahas saya atau Tabung Haji?’ - Anwar
- Helmi Mohd Foad

- Aug 11
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan pembangkang memboikot sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), ketika beliau masih dalam proses pemulihan selepas menjalani prosedur laparoskopi bagi hernia perut semalam.
Perdana Menteri mempersoalkan sama ada pembangkang mahu memberi tumpuan terhadap ketidakhadirannya atau membahaskan isu yang menyentuh kepentingan pendeposit TH.
"Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
"Orang Melayu Islam telah dikhianati tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam," katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN), yang ditunjangi Pas susulan keputusan pembangkang meninggalkan sidang Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan berkenaan.
"Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?" katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan RCI TH selepas Anwar tidak hadir pada sidang khas berkenaan.
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata kehadiran Anwar penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan itu, lebih-lebih lagi persidangan khas tersebut diadakan atas permohonan perdana menteri.
Menurutnya, pembangkang sebelum ini sudah mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul supaya persidangan khas berkenaan ditangguhkan sehingga Anwar kembali bertugas selepas menjalani rawatan kesihatan.
Takiyuddin berkata perbahasan tanpa kehadiran Anwar akan menjadikan sidang khas berkenaan tidak lebih daripada “sidang media” kerana perdana menteri yang mencetuskan isu tersebut tidak berada di dewan untuk menjawab dan menggulung perbahasan.
Beliau berkata isu TH mempunyai kepentingan awam yang tinggi dan berpendapat ia sewajarnya dibentangkan sendiri oleh Anwar selepas beliau kembali bertugas.
Bagaimanapun, Johari berkata beliau terikat dengan Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat selepas menerima permohonan Anwar untuk mengadakan persidangan khas berkenaan dan persidangan itu perlu diteruskan.
Beliau turut menegaskan ketiadaan Anwar tidak bermakna kerajaan tidak diwakili kerana timbalan perdana menteri serta menteri lain hadir mewakili Kabinet.
Beliau kemudian memaklumkan keputusan meneruskan sidang khas itu adalah muktamad sebelum pembentangan diteruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.




Comments