top of page

Boikot RCI TH: 'Kalau benar pejuang Melayu, kemuka soalan, dengar penjelasan'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 12
1 min read

Tindakan anggota parlimen pembangkang dari parti Pas dan Wawasan memboikot sesi penerangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji semalam disifatkan sebagai tindakan yang mengecewakan dan tidak mencerminkan kematangan politik.


Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, pembangkang sepatutnya menggunakan peluang yang diberikan untuk mendapatkan penjelasan, mengemukakan soalan serta menyuarakan pandangan berkaitan isu yang melibatkan kepentingan pencarum Tabung Haji.


"Kalau benar mereka mahu membela kepentingan rakyat dan pencarum Tabung Haji, hadirlah, dengar penjelasan, tanya soalan dan kemukakan pandangan. Jangan apabila peluang diberikan, mereka sendiri memilih untuk tidak hadir.


"Ketidakhadiran Perdana Menteri kerana keuzuran selepas menjalani pembedahan juga tidak wajar dijadikan alasan untuk memboikot sesi tersebut. Kesihatan seseorang bukan modal politik," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, kesihatan seseorang tidak wajar dijadikan modal politik. Kalau matlamatnya benar-benar mahu mencari jawapan, mengapa perlu memboikot.


"Peluang diberikan tetapi tidak digunakan. Ruang dibuka tetapi disempurnakan. Kemudian alasan pula dicari.


"Rakyat sudah cukup matang untuk menilai," katanya.


Beliau menegaskan pembangkang seharusnya memainkan peranan sebagai semak dan imbang secara konstruktif, bukannya menjadikan setiap isu sebagai dalih untuk kepentingan politik kepartian.


"Tabung Haji adalah kepentingan rakyat. Jangan politikkan segala-galanya sehingga usaha mencari penyelesaian turut menjadi mangsa.


"Rakyat mahu penyelesaian, bukan alasan. Rakyat mahu fakta, bukan propaganda. Rakyat mahu semak dan imbang, bukan boikot," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang supaya menunjukkan kematangan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.


"Sudah tiba masanya pembangkang menunjukkan kematangan politik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.


"Jangan jadikan politik sempit sebagai penghalang kepada kemajuan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page