BN tiada masalah besar kekal kerusi Ayer Kuning - ILHAM Centre
- Suara Keadilan
- Apr 25
- 3 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Sebuah badan penyelidikan bebas, ILHAM Centre mendapati calon Barisan Nasional (BN) secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah, Perak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu esok.
Dalam kajian yang dilakukan sejak 18 April lalu, persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi seperti diumumkan BN negeri.
"PRK Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan," kata laporan penyelidikan itu yang diterbitkan hari ni.
Laporan itu disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre diketuai Pengarah Eksekutifnya Hisommudin Bakar bersama Prof. Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik dan Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik).
Esok merupakan hari penentuan bagi 31,315 pengundi biasa di DUN Ayer Kuning untuk membuat pilihan dengan BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.
"Di pihak PN, fokus utama adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15 lalu," menurut laporan itu.
Pada Pilihan Raya Umum 2022 lalu, PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO, katanya.
Kata laporan itu, sepanjang kempen PRK tersebut, BN menggunakan pendekatan yang pernah berjaya di PRK Nenggiri dan Mahkota dengan mengepung ahli tegar parti, memujuk kembali pengundi yang sebelum ini memilih protes dalam pilihan raya lalu.
"Bagi PH pula, AMANAH dan DAP bekerja secara aktif," ujarnya.
Kata laporan itu, sepanjang kempen, hanya Pas dilihat bekerja keras tetapi sekutu mereka Bersatu tidak menyerlah.
Dalam konteks ini, laporan itu menyebut, anak muda Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi yang kritikal terhadap BN.
"Ketiadaan minat generasi muda ini merupakan cabaran utama jentera Pemuda UMNO," jelasnya sambil menyatakan pola pengundian majoriti senyap semakin sukar dibaca menambah ketidakpastian terhadap keputusan akhir PRK ini.
Laporan itu berkata kempen PRK Ayer Kuning jelas didominasi oleh isu-isu tempatan yang lebih dekat dengan hati pengundi.
"Antara isu yang dimainkan termasuklah PH yang awal-awal lagi mempertikaikan kredibiliti calon PN berhubung status tauliah mengajar agama beliau.
"PN pula menggunakan isu tempatan seperti pencemaran najis babi tetapi diubahsuai menjadi isu berbaur perkauman yang bertujuan meraih simpati pengundi Melayu," katanya.
Sementara itu katanya, dinamik perpindahan undi khususnya daripada pengundi PH menjadi antara faktor paling penting dalam menentukan kemenangan PRK ini.
"Hasil kajian ILHAM Centre mendapati pengundi Cina masih skeptikal terhadap BN, menyebabkan DAP dan MCA terpaksa bergerak secara berasingan dalam usaha memujuk segmen ini untuk menyokong calon BN," katanya.
Bagaimanapun, penyokong PH tidak berdepan masalah besar untuk memindahkan undi mereka kepada calon BN kerana persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan manakala komuniti Orang Asal secara jelas kekal dengan BN, kata laporan itu.
PRK Ayer Kuning diadakan setelah wakil rakyatnya Ishsam Shahruddin meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada PRU-15, Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi sekali menumpaskan calon PH, Mohd Nazri Hashim (6,875), calon PN Muhammad Noor Farid (6,812), calon PSM Bawani KS (586) dan Pejuang (Maziah Salim) dengan 105 undi.
Laporan media sebelum ini menyebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 70 peratus pemilih akan keluar menguni pada PRK Ayer Kuning esok.
Jumaat lalu, sebanyak 93.4 peratus pengundi awal terdiri daripada 500 anggota polis dan ahli keluarga menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK tersebut.
Comentarios