top of page

Polis kawal stesen minyak di sempadan langkah berkesan kekang penyeludupan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read
Seorang anggota polis mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand, 11 Apil 2026. Foto Ihsan Kementerian Dalam Negeri
Seorang anggota polis mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand, 11 Apil 2026. Foto Ihsan Kementerian Dalam Negeri

Keputusan Kabinet yang bersetuju polis menempatkan anggotanya di stesen minyak kawasan sempadan merupakan langkah penting dalam memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung ketika negara berdepan krisis tenaga global.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tanggungjawab kawal selia bekalan minyak terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) namun Polis Diraja Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan.


“Keputusan menempatkan anggota polis secara menyeluruh di kawasan ini adalah antara langkah paling berkesan untuk mencegah aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan dalam negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu Saifuddin turun padang meninjau kesiapsiagaan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand susulan krisis tenaga global serta langkah kerajaan memperketat penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan bahan api.


Lawatan itu dibuat selepas keputusan Jemaah Menteri sebelum ini yang bersetuju agar penugasan anggota polis diperkukuh di stesen minyak kawasan sempadan, khususnya di lokasi berisiko tinggi sebagai langkah membendung ketirisan subsidi diesel dan petrol.


Beliau memulakan pemantauan melalui tinjauan udara merentasi beberapa lokasi strategik termasuk Durian Burung, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar bagi mengenal pasti laluan panas serta pergerakan mencurigakan di sepanjang sempadan.


SAIFUDDIN NASUTION (tengah) melakukan tinjauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, 11 April 2026. Foto Ihsan Kementerian Dalam Negeri
SAIFUDDIN NASUTION (tengah) melakukan tinjauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, 11 April 2026. Foto Ihsan Kementerian Dalam Negeri

Saifuddin kemudian meninjau operasi di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jalan Kesban dan diberi taklimat mengenai situasi semasa termasuk lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai titik panas penyeludupan, namun kini berjaya dikawal.


Dalam pada itu, beliau berkata bekalan minyak negara ketika ini masih berada pada tahap mencukupi.


Namun ujar beliau usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku khususnya dalam keadaan geopolitik global yang semakin mencabar.


“Dalam situasi semasa, kita akan terus menggandakan usaha bagi memastikan sempadan negara kekal terkawal dan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page