BN-PN Tidak Boleh Diberi Peluang Perintah N Sembilan
- Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

- Jul 27
- 3 min read

ULASAN: Pilihanraya Negeri Sembilan terpaksa diadakan apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno-BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Keadaan ini membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyatakan bahawa keputusan tersebut dilakukan oleh Umno-BN susulan berlaku campur tangan politik terhadap krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Namun perkara itu telah dibuktikan tidak benar oleh Datuk Seri Aminuddin Harun, isu membabitkan institusi Undang di Negeri Sembilan bukan berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar. Justeru tidak timbul isu campur tangan dalam institusi adat oleh Datuk Seri Aminuddin, malah setiap keputusan yang dimuktamadkan oleh beliau adalah berpandukan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri.
Kerajaan Negeri tidak patut bubar
Sepatutnya tidak berlaku tindakan tergesa-gesa kesemua 14 ADUN Umno-BN Negeri Sembilan menarik sokongan sehingga terbubarnya Kerajaan Madani Negeri Sembilan. Sejurus penarikan sokongan oleh Umno-BN terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan bagi membentuk kerajaan yang baru melalui sepucuk surat yang diserahkan kepada Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor. Situasi ini menimbulkan cemuhan terhadap kepimpinan Umno-BN negeri, seolah-olah wujud cubaan rampasan kuasa yang berselindung di sebalik laungan mempertahankan institusi adat.

Pengundi di Negeri Sembilan sepatutnya sedar bahawa Umno-BN menjadi punca kepada ketidakstabilan Kerajaan Negeri dan sudah memulakan langkah untuk membentuk kerajaan bersama PN-Pas sekiranya memenangi PRN Negeri Sembilan. Pembahagian kawasan untuk dipertanding antara Umno-BN (25 kerusi DUN) dan PN-Pas (11 kerusi DUN) baru baru ini mengesahkan kerjasama antara kedua-dua pihak telah dirancang sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan lagi.
Tolak kemenangan BN-PN
Pengundi Negeri Sembilan harus menolak pembentukan kerajaan oleh gabungan politik Umno-BN dan PN-Pas bagi memastikan kestabilan Kerajaan Negeri pada masa akan datang dapat dipertahankan. Keputusan Umno-BN bertanding 25 kerusi dan memberikan 11 kerusi kepada PN-Pas telah membangkitkan penolakan kepimpinan akar umbi Umno-BN.
Perkara ini dapat dibuktikan melalui penutupan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Umno-BN termasuk di Klawang sebagai membantah kawasan itu diserahkan kepada PN-Pas. Malumat terkini menunjukkan tidak kurang 5 PDM Umno-BN yang telah ditutup atas alasan yang sama. Keadaan ini menunjukkan gabungan Umno-BN dan PN-Pas tidak mungkin dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil, penolakan oleh akar umbi Umno-BN tidak dapat dikawal oleh Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Menjadi kerisauan sekiranya gabungan tersebut diberi kepercayaan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan selepas PRN, kerajaan tersebut tidak akan stabil dan mungkin runtuh lebih awal akibat tekanan akar umbi Umno-BN yang tidak sehaluan dengan PN-Pas.
BN-PN tidak mampu wujudkan kerajaan stabil
Pengundi Negeri Sembilan juga harus sedar bahawa Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias adalah antara calon yang dipersetujui menjadi Menteri Besar dari gabungan Umno-BN dan PN-Pas. Persetujuan mengangkat calon Umno-BN sebagai Menteri Besar telah disuarakan oleh Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Namun calon Menteri Besar tersebut tidak mampu mewujudkan kerajaan yang stabil selepas PRN memandangkan beliau sehingga kini secara konsisten menyatakan pendirian menyokong institusi Undang Yang Empat berbanding mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar.
Keadaan ini bakal mewujudkan pemerintahan kerajaan yang tidak stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Jalaluddin Alias, kerajaan yang beliau pimpin menghadapi kesukaran untuk meluluskan sebarang usul di DUN Negeri Sembilan memandangkan tindakan beliau 'tidak sebulu' dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sebelum ini.
Jangan silap pilih kerajaan
Kerajaan yang stabil hanya akan dapat di bentuk di bawah kepimpinan Pakata Harapan yang diterajui oleh Datuk Seri Aminuddin. Pengundi Negeri Sembilan yang mahukan kerajaan negeri yang stabil dan berfungsi dengan lancar tidak mempunya pilihan selain menyokong calon-calon ADUN dari Pakatan Harapan.
Kesilapan memilih dalam PRN kali ini akan mengakibatkan kerajaan yang dibentuk tidak dapat bertahan lama, malah mungkin gagal meluluskan belanjawa tahunan negeri. Akibatnya pembangunan Negeri Sembilan yang sedang rancak mungkin akan tergendala sehingga menjadi musibah kepada kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi, KEADILAN Selangor




Comments