'BN-PN tiada poster boy, Aminuddin kekal MB jika PH menang'
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 3 min read

Di tengah kekalutan BN-PN yang tidak menentukan siapakah poster boy, sama ada calon DUN Rantau 'Tok Mat' atau calon DUN Pertang Jalaluddin Alias, Pakatan Harapan (PH) tampil dengan imej stabil menetapkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar sekiranya diberi mandat pada 1 Ogos ini.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah malam tadi.
Katanya berbeza dengan PH yang sudah mempunyai calon Menteri Besar yang jelas, gabungan BN dan PN masih belum menamakan calon mereka, sekali gus berpotensi mencetuskan perebutan jawatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
"Kalau dibangkitkan kelemahan-kelemahan... tak reti buat kerja, tak turun padang, tak peduli masalah rakyat, pelaburan tak berkembang... saya boleh terima kalau kena tukar.
"Saya ada pengaruh dalam Pakatan untuk mengatakan 'cukup' Aminuddin. Tetapi saya tengok dari segi keikhlasan, dari segi akhlak dan peribadi, ini calon kita yang terbaik," kata beliau ketika berucap pada program Jelajah Kekal Harapan di Senawang malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH negeri, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu serta Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata usaha pihak tertentu mempertikaikan kepimpinan Aminuddin juga tidak berasaskan prestasi pentadbiran kerana sepanjang tiga setengah tahun menerajui kerajaan negeri, beliau tidak pernah dikaitkan dengan kegagalan mentadbir, skandal rasuah, pengabaian kebajikan rakyat mahupun kelemahan menarik pelaburan.
"Saya tanya Negeri Sembilan ini apa masalahnya? Saya tak pernah dengar ada kes rasuah. Saya tak pernah dengar dia tak turun padang. Saya tak pernah dengar dia gagal tarik pelaburan atau tak peduli masalah rakyat."
Sebaliknya, kata beliau apa yang berlaku hanyalah usaha segelintir pihak yang tidak berpuas hati kerana Menteri Besar bukan daripada calon mereka.
"Rupa-rupanya bukan isu prestasi. Isunya bagaimana nak ambil (jawatan) itu," ujarnya.
Anwar turut menggesa pengundi supaya membuat keputusan berdasarkan rekod pencapaian kerajaan negeri, bukannya dipengaruhi propaganda atau sentimen politik.
"Beliau (Aminuddin) lebih faham keadaan Negeri Sembilan, dekat dengan rakyat, aktif dalam program-program kemasyarakatan dan kegiatan Islam, selain mempunyai rekod yang baik dalam pembangunan negeri," katanya.
Mengenai tuduhan Aminuddin sekadar menjadi boneka DAP, Anwar membidas bahawa perkara tersebut tidak pernah timbul sepanjang PH membentuk Kerajaan Perpaduan bersama BN selama lebih tiga tahun di Negeri Sembilan.
"Tiga tahun setengah saya tak dengar sungguh... saya bincang dengan mereka bukan sekali, seminggu tiga empat kali dengan pimpinan parti itu. Tak pernah dengar. Mustahil kalau soal Melayu tergugat, itu tidak akan dibincang dengan saya," ujar Anwar.
Malah katanya lagi, ketika BN/PH memainkan naratif perpaduan Melayu, mereka turut membariskan calon-calon daripada MCA dan MIC.
"Saya pilih DAP...rekod MCA, MIC dah tahu 10 tahun kita tahu dan rekod DAP pun kita tahu," ujarnya.
Anwar turut menyifatkan kejayaan menarik pelaburan sebagai antara ukuran paling penting dalam menilai prestasi sesebuah Kerajaan Negeri kerana ia mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.
"Pelaburan itu penting. Kalau pelaburan tak ada, orang tak ada kerja, anak-anak muda kita tak ada pekerjaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan naratif politik yang sengaja dimainkan untuk menimbulkan kebencian atau perpecahan, sebaliknya membuat penilaian berdasarkan prestasi sebenar kerajaan.
Katanya, kerajaan yang baik perlu dinilai melalui keupayaannya membangunkan ekonomi, menarik pelaburan, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan kestabilan politik terus dipelihara.
"Yang penting kita pertahankan kepentingan rakyat, bina ekonomi dan sediakan peluang pekerjaan. Jangan buat keputusan hanya berdasarkan propaganda," katanya.




Comments