BN-PN jangan ulang tindakan derhaka kepada raja, rakyat merana - PH N Sembilan


Pakatan Harapan kekal dengan pendirian bahawa tindakan kepimpinan BN-PN sejak awal krisis merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.
Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengulangi tindakan yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
PH negeri juga menjunjung kasih atas kebijaksanaan dan ketegasan Tuanku Muhriz dalam menangani kemelut politik serta pentadbiran negeri yang berlarutan selama hampir empat bulan.
Dalam kenyataannya, PH Negeri Sembilan berkata, perkembangan terkini dengan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) baharu membuktikan pentingnya semua pihak menghormati kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Besar yang sah serta memastikan titah baginda dipatuhi.
"Pakatan Harapan kekal dengan pendirian bahawa tindakan kepimpinan BN-PN sejak awal krisis merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.
"Pendirian ini berasaskan tindakan kerajaan BN-PN yang secara kolektif menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz, sebelum akhirnya menarik balik keputusan dan surat yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu," kata kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan.
Menurut PH, tindakan kerajaan BN-PN kemudian mengesahkan proklamasi berkenaan tidak sah memperlihatkan seriusnya percanggahan keputusan yang berlaku sepanjang kemelut politik itu.
"Jangan sesekali perbuatan yang dianggap derhaka ini berulang, apatah lagi oleh mereka yang telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang," katanya.
PH Negeri Sembilan turut menyifatkan kemelut yang bermula apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akhirnya berlanjutan menjadi pertikaian sesama kepimpinan BN-PN.
Katanya, perebutan kedudukan Menteri Besar, pertikaian sokongan ADUN dan kegagalan menyelesaikan pembentukan Exco selepas hampir empat bulan menunjukkan perubahan kerajaan tidak semestinya menyelesaikan masalah yang dijadikan alasan untuk menamatkan pentadbiran terdahulu.
"Persoalan besar yang perlu dijawab ialah apakah penyelesaian sebenar yang telah diberikan kepada rakyat sepanjang tempoh tersebut?" soal mereka.
Dalam pada itu, PH turut memandang serius kesan ketidaktentuan politik terhadap ekonomi dan pentadbiran negeri, termasuk risiko gangguan kesinambungan dasar, keyakinan pelabur serta pelaksanaan program rakyat.
Menurut kenyataan itu, ketidaktentuan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 juga perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan gangguan peruntukan dan risiko penutupan fungsi pentadbiran tertentu.
"Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada percaturan politik yang berpanjangan, apatah lagi perbuatan derhaka kepada DYMM Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.
PH Negeri Sembilan menggesa kepimpinan BN-PN menjadikan perkembangan terkini sebagai pengajaran dengan menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar, mematuhi titah baginda dan mengembalikan tumpuan kepada amanah mentadbir negeri.
Kerajaan negeri juga diminta memastikan Belanjawan 2027 dapat dibentangkan segera, ekonomi terus berkembang dan segala inisiatif rakyat dilaksanakan.
Bagaimanapun, PH berkata sekiranya kemelut politik kembali berulang sehingga kerajaan tidak mampu berfungsi dengan stabil, pilihan mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan melalui proses perlembagaan.
"Empat bulan ketidaktentuan sudah terlalu lama. Jangan ulangi tindakan yang mengundang krisis. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa," kata kenyataan itu.
Krisis politik Negeri Sembilan berakhir pagi tadi apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pelantikan itu menyaksikan empat wakil BN dan dua wakil PN mengangkat sumpah jawatan Exco dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.




Comments