BN-Pas: Jangan ulangi satu lagi episod ketidaktentuan politik - Kumaresan


Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi menjamin pertumbuhan ekonomi, bukannya kembali melalui satu lagi kitaran penjajaran semula politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, A. Kumaresan (gambar) berkata demikian mengulas kerjasama terbaharu antara Umno dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang kini mencetuskan persoalan mengenai hala tuju politik peringkat nasional.
"Kerjasama antara Umno dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik negara.
"Rakyat Malaysia berhak mengemukakan persoalan yang lebih asas: adakah satu lagi penjajaran semula politik akan menjadikan negara lebih kukuh, atau sekadar mengembalikan Malaysia ke satu lagi era ketidaktentuan?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kumaresan, pengalaman sepanjang sedekad lalu membuktikan bahawa ketidakstabilan politik bukan sahaja memberi kesan kepada landskap politik, malah turut menjejaskan ekonomi negara.
"Walaupun persaingan politik adalah sihat dalam sistem demokrasi, ketidakstabilan yang berpanjangan membawa kos yang besar. Keyakinan pelabur merosot, kesinambungan dasar terganggu, reformasi jangka panjang terbantut dan banyak perniagaan menangguhkan keputusan pelaburan kerana ketidakpastian terhadap hala tuju negara.
"Pengajaran daripada tempoh tersebut amat jelas, ketidakstabilan politik bukan sekadar masalah politik tetapi juga masalah ekonomi," katanya.
Beliau yang juga ADUN Batu Uban berkata, sejak tertubuhnya Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara menikmati suasana politik yang lebih stabil sehingga membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pelaksanaan reformasi.
Menurut beliau, kestabilan politik turut meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada kemasukan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun, Kumaresan mengakui kerajaan masih berdepan cabaran seperti kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, kadar gaji dan mutu perkhidmatan awam, namun menegaskan penyelesaian kepada isu tersebut memerlukan pentadbiran yang stabil.
"Reformasi yang bermakna memerlukan masa, konsistensi dan pentadbiran yang stabil. Pergolakan politik yang berterusan hanya akan melambatkan penyelesaiannya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata mana-mana gabungan politik baharu perlu dinilai berdasarkan dasar dan visi yang ditawarkan, bukannya sekadar percaturan untuk memenangi pilihan raya.
"Sekiranya Umno dan Pas percaya kerjasama mereka mampu menawarkan masa depan yang lebih baik kepada Malaysia, mereka perlu menjelaskannya secara terbuka kepada rakyat.
"Apakah dasar ekonomi yang akan diperkenalkan? Bagaimana mereka mahu menarik pelaburan? Bagaimana mereka akan meningkatkan gaji dan produktiviti? Bagaimana mereka mahu memperkukuh institusi negara, mempererat perpaduan nasional dan menjamin kestabilan politik? Rakyat Malaysia berhak menerima jawapan yang konkrit, bukannya sekadar slogan politik," katanya.
Kumaresan turut menegaskan bahawa demokrasi tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembentukan gabungan untuk meraih kuasa, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada tadbir urus yang baik, pengukuhan institusi serta perpaduan negara.
"Malaysia telah pun merasai akibat buruk daripada ketidakstabilan politik. Kita tidak seharusnya mengulangi episod tersebut.
"Dalam usaha Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi, berdaya saing dan inklusif, kestabilan mesti terus menjadi aset politik yang paling bernilai. Kerajaan boleh berubah melalui proses demokrasi, namun kemajuan ekonomi dan kekuatan institusi negara tidak seharusnya menjadi mangsa kepada penjajaran semula politik yang tidak berkesudahan," katanya lagi.




Comments