'BN menang di Johor Najib bebas', hina kebijaksanaan pengundi - Sivamalar
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 1 min read

Kenyataan Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti sebagai isyarat rakyat mahu bapanya Najib Razak diampunkan dikritik banyak pihak.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, G Sivamalar (gambar) berkata kenyataan Nazifuddin seolah-olah satu penghinaan terbuka terhadap kebijaksanaan rakyat Johor serta satu bentuk ejekan terhadap prinsip demokrasi.
Beliau menegaskan, PRN Johor bukan referendum untuk menyelamatkan kepentingan seseorang individu apalagi yang sudahpun dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
"Pilihanraya adalah medan rakyat memilih kerajaan yang mampu mentadbir dengan berintegriti, mengurus ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menarik pelaburan dan membina masa depan negeri.
"Justeru, cubaan menafsir keputusan tersebut sebagai ‘mandat rakyat’ untuk pengampunan Najib bukan sahaja tidak berasas malah merupakan manipulasi politik terhadap suara rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pada Febuari 2024 hukuman penjara asal 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta atas ehsan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).
Jika dihitung daripada tarikh pembebasan awal yang diberikan, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan berusia 75 tahun pada tahun 2028, sekaligus tidak berpeluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan kiraan tempoh satu penggal berakhir pada 2027.
Bagaimanapun hal itu akan berubah sekiranya Najib mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.




Comments