BN diharap hormat perjanjian kekal kerajaan hingga tamat penggal
- Helmi Mohd Foad

- 7 hours ago
- 1 min read

Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan diharap dapat menghormati perjanjian penubuhan kerajaan perpaduan yang menetapkan ia kekal sehingga tamat penggal, demikian kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar).
Beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, keputusan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 itu adalah bagi memastikan kestabilan politik setelah tiada gabungan politik memperoleh majoriti.
"Persetujuan Kerajaan Perpaduan adalah mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.
"Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian tersebut sehingga tamat penggal. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Media tempatan hari ini melaporkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Setiausaha DUN hari ini.
Pada PRU-15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi manakala BN mendapat 14 kerusi manakala Perikatan Nasional memperoleh lima kerusi sekali gus menjadikan tiada mana-mana gabungan politik meraih majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
PH bagaimanapun berjaya membentuk semula kerajaan di Negeri Sembilan apabila mendapatkan sokongan BN bagi melepasi syarat majoriti 19 kerusi daripada 36 kerusi DUN.




Comments