
Biro Pendidikan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia pada 22 Mei hingga 28 Mei lalu telah menganjurkan kursus peningkatan kemahiran secara percuma kepada anak muda berbakat sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2023 (National Training Week).
Menurut Setiausaha Agung Biro Pendidikan AMK, Alexandre Ong, latihan tersebut dijalankan secara kerjasama dengan sebuah syarikat swasta, Aplus Ultimate Marketing & Consultancy yang juga terlibat di bawah inisiatif Human Resource Department Corporation (HRDC), Kementerian Sumber Manusia.
"Lebih daripada 26 kursus telah didaftarkan dalam Minggu Latihan Kebangsaan ini dengan kerjasama daripada lebih daripada 17 tenaga pelatih di seluruh negara.
"Kami mengucapkan tahniah kepada APlus yang telah menerima Anugerah daripada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah satu pendaftar kursus tertinggi dalam negara, juga merasmikan majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2023 kali ini," kata Alexandre Ong dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, Biro Pendidikan AMK akan meneruskan program-program berkaitan peningkatan skil, penempatan pekerjaan dan program belajar sambil bekerja di bawah inisiatif NEYA (National Employment Youth Advancement Initiative) pada masa hadapan.
"Biro Pendidikan AMK membuka peluang seluas-luasnya kepada anak muda Malaysia agar bersama-sama dalam menyahut seruan Kerajaan Madani dan disokong oleh HRDCorp untuk meneruskan pembelajaran dengan pengenalan beberapa inisiatif pembelajaran sambil bekerja kepada mereka yang tidak berkemampuan atau tidak mendapat tempat di Menara Gading.
"Kami akan terus melaksanakan usaha Pemberian Pendidikan Berterusan kepada anak muda di Malaysia," kata beliau lagi.