
Oleh: Abdullah Zaid
Biro Guaman dan Undang-Undang Angkatan Muda KEADILAN membuat laporan polis berkenaan ‘Langkah Dubai’ yang cuba digerakkan oleh beberapa individu bagi menumbangkan Kerajaan MADANI.
Ketuannya, Asheeq Ali Sethi Ali berkata, tujuan laporan polis dilakukan bagi menyiasat pendedahan penulis blog
Raja Petra Kamarudin yang mendakwa komplot sedang diusahakan dengan mengumpul Akaun Berkanun selain kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memperakui komplot itu.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa dapat menyiasat gerakan yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan dijalankan ke atas individu yang berkaitan.
"Kenyataan (dakwaan Langkah Dubai) jelas menggugat kestabilan politik kerana umum mengetahui gerakan yang mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan ini adalah dengan cara tebuk atap dan pintu belakang.
"Oleh itu, kami tampil membuat laporan polis supaya ada tindakan tegas daripada PDRM terhadap watak-watak yang terlibat," katanya kepada selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.
Turut hadir Angkatan Muda KEADILAN Wilayah, Mohammad Azfar Aza Azhar yang juga AMK Wangsa Maju, dan Cabang AMK Parlimen Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya.
Selain itu, Asheeq juga menegaskan pihak pembangkang boleh menentukan keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen hujung bulan ini.
Jelasnya, sepanjang persidangan berlangsung blok Perpaduan boleh diuji majoritinya dengan undi percaya atau tidak percaya dan Perdana Menteri terbuka untuk usul sedemikian.
"Perdana Menteri sendiri berulang kali menyatakan beliau terbuka untuk diuji (keabsahan) di Parlimen dan kita lihat sepanjang sesi perbahasan berlangsung (tahun lalu) tidak ada satu pun usul yang ditolak atau tidak diluluskan (sekiranya majoriti telah tiada)," ujarnya.
Comments