
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa sidang parlimen dua hari bermula hari ini memasukkan agenda menangani banjir yang semakin memburuk di beberapa negeri.
Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi banjir di Kelantan dan Terengganu yang membimbangkan perlu dibahaskan untuk diputuskan tindakan yang perlu diambil sewajarnya.
"Susulan Sidang Parlimen yang bakal berlangsung, selain usul Undi Percaya kepada Perdana Menteri serta usul Rang Undang-Undang dan urusan kerajaan lain, ABIM menggesa satu usul khas tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dibentangkan berkenaan bencana banjir untuk dibincangkan bersama oleh seluruh anggota Dewan Rakyat.
"Perbahasan turut meliputi kesiapsiagaan jentera kerajaan mendepani banjir, serta penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir, dan lebih utama perancangan dalam menangani impak perubahan iklim," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faisal lagi, pihak kerajaan dan pembangkang seharusnya menggunakan peluang berbahas di Dewan Rakyat bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelamatkan rakyat dan mengurangkan penderitaan mereka tanpa terikat kepada politik kepartian.
"ABIM menggesa ahli politik mengenepikan kepentingan politik kepartian, sebaliknya bersama-sama membantu menstabilkan situasi politik semasa serta memberi fokus membantu meringankan bebanan rakyat," katanya.
Beliau mewakili ABIM turut mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang berkampung di ‘ground zero’ Batang Kali bertungkus lumus dalam menjayakan misi Mencari dan Menyelamat sejak beberapa hari lalu.
Dalam masa sama, katanya, ABIM mendoakan agar seluruh keluarga mangsa tragedi Batang Kali tersebut diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah besar yang tidak diduga itu.