top of page

Bina kemudahan sekolah: Kaji semula peraturan perolehan - Abang Zulkifli

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Oct 29, 2023
2 min read


Peraturan perolehan untuk bantuan pembinaan di sekolah awam perlu dikaji semula agar sesetengah jenis pembinaan boleh dilakukan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan bantuan kewangan Kerajaan Negeri.


Bagi Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, terdapat rungutan dalam kalangan PIBG di negeri itu yang telah mendapatkan bantuan untuk pembaikan di sekolah daripada Kerajaan Negeri namun tidak memenuhi peraturan dan tidak boleh dilaksanakan.


"Saya mendapat beberapa aduan dari PIBG di beberapa buah sekolah di Sarawak yang sudah mempunyai peruntukan untuk membangunkan infrustruktur atau bangunan tambahan kepada sekolah, tetapi mereka tidak mendapat kelulusan dari Jabatan Pendidikan atas alasan PIBG tidak dibenarkan membuat sebarang perolehan di sekolah-sekolah.


"Terdapat di antara sekolah terbabit sudah menyimpan peruntukan yang diperolehi dari Kerajaan Negeri bertahun lamanya. Mereka tidak boleh membelanja peruntukan tersebut untuk tujuan lain, sebab permohonan asal ialah untuk pembinaan.


"Kerajaan Negeri sudah bermurah hati menghulur bantuan kewangan yang dipohon, tetapi di sebelah pihak Kementerian Pendidikan tidak membenarkan peruntukan tersebut digunakan. Yang ruginya ialah warga pendidik dan murid-murid di sekolah terbabit.


"Saya berpendapat tatakelola dan prosedur kewangan dan perolehan kerajaan itu perlu diseragamkan antara Kerajaan Negeri Dan Kerajaan Persekutuan. Kalau ini membabitkan dasar, maka dasar itu perlu diubah atau digubal semula supaya lebih memudahkan proses pembangunan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Abang Zulkifli, Kementerian Pendidikan boleh mencari solusi yang bagi memudahkan peraturan agar sekolah mempunyai kelebihan dalam menerima sumbangan bantuan daripada pelbagai sumber untuk merealisasikan pembinaan yang diperlukan.


"Dalam masa sama, PIBG juga harus diberi garis panduan yang jelas tentang peranan mereka diperingkat sekolah.


"Apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak, supaya isu yang berbangkit ini tidak berulang. Kita sangat menghargai sumbangan PIBG," katanya.


Selain itu, menurut Abang Zulkifli lagi, kerajaan seharusnya memberi pengiktirafan kepada sumbangan PIBG dan pemimpin mereka yang memberi banyak sumbangan kepada sekolah.


Katanya, terdapat sebahagian PIBG sangat aktif. Mereka membantu sekolah dalam hal keceriaan, sukan, malah ada yang terlibat dalam menangani masalah disiplin sekolah dan juga masalah berbangkit dari kalangan ibu bapa dan pelajar. Mereka menganjur ceramah motovasi, anti dadah dan terlibat dalam usaha mencari dana membantu aktiviti di sekolah.


"Oleh itu, mereka ini patut mendapat penghargaan dan pengiktirafan. Yang Dipertua (YDP) PIBG patut diberi penghargaan. Pihak sekolah patut memasukkan nama-nama mereka dicalonkan untuk mendapat kurniaan darjah-darjah kebesaran dari Negeri atau Persekutuan. Ada di antara YDP PIBG ini yang menyumbang bakti mencecah berbelas tahun.


"Jika isu ini tidak diselesaikan dengan cermat, kita khuatir semangat kesukarelawan pihak PIBG akan luntur.


"Justeru, saranan saya, supaya Kementerian Pendidikan mencari solusi yang mungkin terhadap sekolah-sekolah dan PIBG terlibat," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page