Biasiswa penuh pelajar 10A lanjut pengajian di UniKL, UPTM - Zahid
- Suara Keadilan
- May 25
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited untuk memastikan lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang dapat meneruskan pendidikan tanpa dibebani isu kewangan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan itu, lepasan SPM yang mendapat 10A layak menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).
Menerusi ucapan pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di Kuantan pada Sabtu, beliau memaklumkan perkara itu sudah dipersetujui Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
"Saya telah arahkan perkara ini kepada Ketua Pengarah dan ia juga telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Insya-Allah, jika pelajar itu memperoleh 10A, saya boleh jamin permohonan mereka akan diterima secara automatik untuk masuk ke UniKL dan UPTM," jelasnya.
Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak akan dipinggirkan, sebaliknya turut diberikan peluang pendidikan melalui laluan alternatif.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memberi jaminan bahawa pelajar dengan keputusan sederhana atau rendah masih ada peluang meluaskan pendidikan melalui laluan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
"Untuk mereka yang mempunyai kelulusan rendah pun, melalui YPM, kita akan usahakan tempat di institusi TVET dan kolej-kolej di bawah institusi pendidikan MARA.
"Insya-Allah, MARA adalah pembela kepada nasib generasi muda yang tidak mendapat peluang untuk cemerlang dalam bidang akademik," katanya.
Comentários