Biasiswa MyBinary: Kementerian sambut baik bantuan pendidikan golongan B40


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyambut baik penyediaan biasiswa bidang keusahawanan oleh Binary University kepada pelajar dalam golongan keluarga B40.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami, biasiswa keusahawanan di peringkat ijazah itu akan mampu mengeluarkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah di negara ini melalui pendidikan menjadi usahawan berjaya.
"Hari ini Binary University telah mengumumkan biasiswa untuk B40 meneruskan pembelajaran di bidang keusahawanan di peringkat ijazah," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Mewujudkan Usahawan Profesional melalui Biasiswa Perpaduan MyBinary, semalam.
Sehubungan itu, beliau yang melancarkan Biasiswa Perpaduan MyBinary berkenaan menyeru rakyat Malaysia yang layak untuk segera merebut peluang menyambung pendidikan di bidang yang ditawarkan.
"Ini adalah satu peluang keemasan kerana nilai biasiswanya dalam lingkungan RM75,000.
"Jadi sesiapa lepasan SPM atau STPM boleh meneruskan ke peringkat ijazah dalam jurusan keusahawanan.
"Saya gesa semua lepasan sekolah menengah yang telah menerima keputusan untuk mengambil kesempatan ini bagi meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang keusahawanan mengikut kelayakan.
"Pemohon perlu mendapat sekurang kurangnya 5 kredit dalam SPM (untuk memohon)," katanya lagi.

Sebelum itu dalam ucapan pelancaran biasiswa berkenaan, Saraswathy berkata, kementeriannya sedang berusaha sedaya upaya menyediakan ilmu dan bantuan kewangan kepada golongan usahawan.
Terdapat pelbagai bantuan di bawah Kementerian beliau, terutama Tekun bagi usahawan kecil dan SME bank bagi usahawan sederhana. Juga Bank Rakyat menyediakan sejumlah pinjaman kepada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan.
Fokus utama Kementerian, kata Saraswathy, adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang kesenjangan terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar dan golongan wanita.
Beliau juga, katanya, memimpin jawatankuasa pembangunan usahawan wanita. Dengan bantuan dan kursus sesuai, jelas beliau, wanita akan boleh meningkatkan keyakinan diri dan menjadi maju dengan skim skim yang ditawarkan kerajaan.




Comments