
Bencana banjir bandang yang melanda Lembah Kelang dan separuh Selangor pada 18 - 21 Disember lalu menimbulkan kritikan hebat kepada agensi agensi kerajaan yang dianggap lembab bertindakbalas, terutama melakukan proses evakuasi.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim agensi kerajaan tidak wajar dipersalahkan, sebaliknya kesalahan terletak dibahu para menteri kerajaan BN-PN yang yang tidak tahu apa perlu dilakukan dalam situasi krisis.
Beliau berkata, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, bencana pencemaran kimia mebatkan saliran air di Pasir Gudang, Johor pada Mac 2019 boleh ditangani dengan baik dan tiada kerosakan besar atau kemalangan jiwa berlaku
"Pada 13 Mac 2019, saya memfailkan Usul di Dewan Rakyat supaya diadakan perbahasan di Parlimen tentang bencana Pencemaran udara (dan air) di Pasir Gudang yang mengancam nyawa rakyat serta menuntut Kerajaan mengisytiharkan Darurat di sana.
"Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Arif Mohd Yusof membenarkan usul dibentangkan dan dibahaskan pada jam 4.00 petang 14 Mac 2019. Dua orang Ahli Parlimen Kerajaan dan dua orang Ahli Parlimen Pembangkang membahaskan usul tersebut.
"Kemudian Timbalan Menteri Undang-Undang dan Parlimen, YB Hanipah Maidin (Sepang) menjawab bagi pihak Kerajaan. Walaupun tuntutan supaya Darurat bencana diisytiharkan ditolak tetapi Kerajaan berjanji untuk melakukan segala usaha bagi membantu rakyat di Pasir Gudang seolah-olah Darurat diisytiharkan. Demikianlah jaminan Timbalan Menteri YB Hanipah Maidin," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pada hari yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanggungjawab terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bergegas turun ke Pasir Gudang.
"Beberapa jam kemudian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga datang ke Pasir Gudang. Menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin juga turun
"Serentak dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan ke Pasir Gudang, NADMA menggerakkan segala unit canggih menghadapi bencana pencemaran, seperti unit HAZMA, dengan pantas dan tangkas melindungi rakyat di Pasir Gudang.
"Nyawa rakyat dapat diselamatkan," katanya.
Selepas itu, menurut Hassan Menteri Alam Sekitar mengadakan satu majlis terbuka Town Hall perbincangan dengan rakyat mengenai bencana pencemaran di Pasir Gudang di Bangunan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Namun tegas Hassan, keadaan berbeza di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, apabila berlaku banjir bandang pada 18 Disember lalu.
Begitu juga dua hari kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan lain-lain Ahli Parlimen Pembangkang menuntut Speaker Dewan Rakyat supaya dibahaskan tentang bencana banjir besar yang mengancam nyawa dan harta rakyat. Malangnya, Speaker Tan Sri Azhar Harun dengan sewenang-wenang menolak tuntutan perbahasan isu banjir dengan alasan teknikal, tidak ada permohonan usul difailkan kepadanya.
"Di peringkat kepimpinan Kerajaan pun begitu juga. Berbanding Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Alam Sekitar PH segera turun ke zon bahaya di Pasir Gudang yang lebih 300 kilometer jaraknya dari Putrajaya, tetapi sekarang di zaman kerajaan BN-PN, pada hari-hari pertama banjir itu mengancam nyawa rakyat tidak nampak PM, Menteri Tugas-Tugas Khas yang bertanggungjawab terhadap NADMA serta Menteri Alam Sekitar turun ke kawasan bencana banjir di Lembah Klang yang hanya beberapa kilometer sahaja dari Putrajaya.
"Inilah perbezaan bagaimana pemimpin Kerajaan PH dan pemimpin Kerajaan BN-PN menangani bencana. Rakyat dapat melihat dengan mata sendiri," katanya.
Sebagai perbandingan, kata Hassan, NADMA berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik pada 2019 dan mustahil agensi itu tidak tahu apa perlu dilakukan pada 17, 18, dan 19 Disember lalu
"NADMA begitu cekap dan tangkas serta amat bertanggungjawab di bawah Dr Wan Azizah semasa Kerajaan PH, tiba-tiba NADMA menjadi agensi yang lembam, kaku dan lesu di bawah kepimpinan Menteri Kerajaan BN dan PN," sinisnya lagi.