Kerajaan perlu bertindak segera ke atas dua buah syarikat pembekal pekerja asing yang didakwa menyeleweng dalam urusan perniagaan mereka.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak boleh dikompromi dan satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan sama ada ke atas pihak syarikat mahu pun pegawai kerajaan yang terlibat.
"Saya mengikuti perkembangan isu dua syarikat iaitu Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet mutakhir ini. Ini setelah sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor menpengaruhi kerajaan untuk hanya menghadkan bilangan agensi yang membekalkan buruh kepada 25 syarikat sahaja.
"Perkara ini ternyata terus menggugat kepercayaan dan menanam curiga di kalangan rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu-isu penyelewengan dan kepincangan.
"Isu sebesar ini semestinya menuntut tindakan yang tuntas dan pantas, terutamanya dari Perdana Menteri kerana ia melibatkan nama menteri dan mantan menteri yang berkaitan, dari PM dan juga Menteri Sumber Manusia," katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan segera dan tindakan tegas, tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, sangat penting bagi menjaga nama baik negara di peringkat antarabangsa yang semakin buruk sejak tercetusnya skandal 1Malaysia Development Berhad beberapa tahun lalu.
Justeru, Anwar mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera masuk dan menyiasat pihak pihak yang terbabit.
"Siasatan ini mustahak kerana ia turut melibatkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta tekad dan iltizam kita dalam menghentikan kebobrokan.
"Pernah saya suarakan di Parlimen sebagai perhambaan moden di mana pekerja diperas sementara pedagang dan agen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar.
"Saya menuntut siasatan penuh SPRM terhadap dua syarikat tersebut terkait urusan mencurigakan bagi memperoleh kontrak daripada kerajaan," katanya lagi.
Comments