Kempen berbentuk aktiviti riadah untuk membersihkan Sungai Kelang dan Sungai Ampang dilancar oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail hari ini.
Menurut Rodziah, kempen yang telah diperkenalkan beliau sejak tahun lalu itu wajar dijadikan satu aktiviti sepanjang masa oleh warga kota dan desa di sepanjang kawasan sungai.
Katanya, aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah atau KUDAH perlu dijadikan tanggungjawab bersama di samping memastikan sungai sentiasa bersih, warga juga akan berpeluang menyihatkan tubuh badan mereka.
"Namun dari segi dasar, tidak cukup (melaksanakan aktiviti) ini dari semangat sukarelawan sahaja.
"Sebab itu saya mencadangkan supaya kita buat satu kempen besar besaran tahun depan di peringkat parlimen saya
"Saya mencadangkan kempen khusus untuk kebersihan dan keceriaan. Saya akan bekerjasama dengan semua pihak yang ingin memberikan tumpuan sebaik mungkin, memberikan sedikit dana dan peralatan yang perlu supaya usaha ini terus ke akar umbi
"Kita mungkin kena fikirkan sedikit timbal balas dengan usaha yang mereka (penduduk tempatan) berikan. Mungkin kita kena buat kampung terbaik, taman terbaik, sungai tercantik dan sebagainya," kata Rodziah kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia dan KUDAH Peringkat Parlimen Ampang, pagi tadi.
Selain itu, Rodziah turut mencadangkan agar masyarakat setempat yang berkediaman di sekitar sungai agar mengambil jarak tertentu sungai sebagai kawasan angkat yang diperhatikan kebersihannya sepanjang masa.
"Saya cadangkan sekolah mengangkat 1 km atau 500 meter tempat untuk mereka jadikan komitmen, untuk pastikan kawasan diangkat dalam keadaan baik.
"Saya minta Ahli Majlis (Pihak Berkuasa Tempatan) memainkan peranan yang baik supaya aktiviti ini tidak jadi one off. Kita mahu 5 ke 10 tahun akan datang perkara ini tidak perlu dihighlightkan, ia dah menjadi budaya kepada kita semua," katanya.
Sebelum itu dalam ucapannya, Rodziah bertekad melaksanakan program “River of Life” bagi semua sungai dan alur sungai dalam Parlimen Ampang demi memelihara dan memulihara habitat semula jadi flora dan fauna di samping menghidupkan semula pelbagai aktiviti tebing sungai yang inklusif dan lestari supaya sungai dan alur sungai menjadi “centrepiece” Parlimen Ampang
Beliau juga beriltizam untuk membaikpulih, menaiktaraf dan menyusun semula semua aspek di sepanjang Ampang Waterfront demi transformasi menjadi satu nukleus aktiviti utama dalam Parlimen Ampang.
Dalam program KUDAH pagi tadi beebrapa puluh orang warga setempat bersama PBT melakukan aktiviti gotong royong mengeluarkan sampah dari sungai Kelang dan memasukkannya ke dalam lori yang disediakan pihak PBT.
Commentaires