Bersedia hadapi PRU: Santuni masyarakat, hargai jasa otai reformis
- Suara Keadilan

- 22 minutes ago
- 2 min read

Kepimpinan KEADILAN diingatkan agar memberikan perhatian kepada semua anggota tanpa mengira latar belakang selain menghargai pengorbanan para anggota reformasi yang memperjuangkan parti sejak sekian lama, demikian kata Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Yuneswaran Ramaraj.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan berkata seluruh anggota cabang parti turut digesa lebih proaktif menyantuni masyarakat, mempergiatkan usaha menambah pendaftaran keahlian dan mengukuhkan jentera parti di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Dalam masa yang sama, kita perlu bersiap siaga menghadapi pilihan raya akan datang dengan semangat dan kesiapsiagaan yang tinggi," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana Keadilan Perak bersama Otai Reformis di Ipoh semalam.
Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Munim yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN.
Yuneswaran menyatakan beliau turut mengambil kesempatan berkongsi peranan Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Saya tegaskan pentingnya setiap anggota untuk terus menyampaikan dasar kerajaan MADANI di bawah pimpinan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk usaha pengukuhan ekonomi negara yang kini menunjukkan perkembangan positif meskipun berdepan cabaran global," ujar beliau.
"Kekuatan kita terletak pada nilai perpaduan, itulah asas kepada kestabilan dan kemajuan negara."

Dalam pada itu, Yuneswaran melahirkan rasa gembira diberi peluang menyantuni anggota KEADILAN dan otai reformasi di Perak selain dapat bertukar pandangan dalam mengukuhkan parti.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada MPN Keadilan Perak dan Otai Reformis atas undangan serta kesempatan untuk bersama-sama meraikan kemeriahan Ramadan ini," ujarnya lagi.




Comments