KEADILAN sudah menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan sepanjang menjadi pembangkang dan juga ketika mentadbir kerajaan.
Malah, pengkhianatan luar biasa yang dilakukan ketika Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah sesuatu yang telah dijangka dalam kalangan ahli parti.
Namun, KEADILAN tidak seharusnya mengalah begitu sahaja, sebaliknya perlu bersatu demi reformasi negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan, pelbagai kerosakan dan tekanan yang sedang dirasai oleh rakyat dibawah pemerintahan yang menguntungkan pemimpin.
"Rakyat majoriti terpinggir malah pendekatan seolah-olah tidak patuh demokrasi dan pentadbiran mengikut undang-undang yang tempang serta berat sebelah.
"Masanya telah tiba, bersatulah untuk REFORMASI. Terus berkhidmat!" katanya menerusi akaun Facebook rasmi miliknya.
Pada masa sama, Aminuddin memberikan jaminan bahawa kerajaan PH Negeri Sembilan akan terus memberi keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.
"Kita kecapi sedikit ruang dan peluang agar agenda reformasi dapat terus direalisasi. Ayuh, kita rakyat berganding bahu untuk memulihkan negeri ini. Tugas kita memang berat tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang gandingan rakyat dengan pemerintah.
"Terima kasih kepada pendiri parti dan seluruh pejuang reformasi yang telah nekad tanpa mengalah, berjuang demi sebuah cita-cita murni ingin melihat negara terbina di atas leluhur yang benar dan dipimpin dengan wibawa," katanya.
Comments