Bersatu sibuk rebut kuasa, abaikan peranan pembangkang - AMK Johor
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin tenggelam dalam konflik dalaman sehingga gagal berperanan sebagai pembangkang yang berkesan, demikian menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Mohd Puad.
Beliau berkata, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI berusaha memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas bantuan kebajikan serta menstabilkan politik negara, pemimpin parti pembangkang pula sibuk mencipta episod baharu perebutan kuasa.
"Daripada tampil sebagai pembangkang yang konstruktif, mereka memilih untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain.

"Inilah wajah sebenar politik sempit yang langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faezuddin menegaskan pembangkang sepatutnya berperanan sebagai semak dan imbang, memberi cadangan dasar alternatif serta menampilkan idea bernas, namun apa yang berlaku hanyalah “drama politik dalaman tanpa noktah.”
Menurut beliau, selepas kempen “Turun Anwar” gagal mendapat sambutan, kini timbul pula kempen “Turun Muhyiddin” dan “Turun Azmin” dalam kalangan ahli parti sendiri.
Konflik dalaman Bersatu dilihat semakin ketara selepas siri perbalahan antara pasukan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Timbalannya Datuk Seri Hamzah Zainudin disusuli pula pertelingkahan antara kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Sebelum ini, Wan Saiful mencetus kontroversi apabila mendakwa lebih 100 ketua bahagian Bersatu menandatangani Akuan Berkanun (SD) mendesak Muhyiddin menyusun pelan transisi kepimpinan parti.
Beliau turut mengkritik Azmin dengan menyatakan bekas Menteri Besar Selangor itu tidak layak memimpin selagi isu video intim lama yang dikaitkan dengannya belum selesai.
Kenyataan terbuka itu bagaimanapun mengundang kecaman hebat daripada pemimpin akar umbi Bersatu.
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Selangor menggesa tindakan disiplin tegas dikenakan terhadap Wan Saiful manakala beberapa pemimpin negeri lain menyifatkan tindakannya sebagai musuh dalam selimut yang merosakkan parti.









Comments