top of page

Bersatu ‘sailang’ Pas, PN hadapi krisis kepercayaan — Pemuda AMANAH Perak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 29 minutes ago
  • 2 min read

Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baharu hari ini
Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baharu hari ini

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu disifatkan sebagai bukti jelas rapuhnya hubungan dan kepercayaan dalam Perikatan Nasional (PN).


Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Syahrunnaim Salehuddin berkata, perkembangan itu membongkar realiti sebenar kedudukan Pas dalam gabungan berkenaan, meskipun sebelum ini parti itu sering mendabik dada kononnya memiliki barisan pemimpin yang layak menerajui negara.


"Pas mendabik dada kononnya mereka mempunyai “empat lori” pemimpin yang layak jadi Perdana Menteri. Namun, untuk pertahankan kerusi Menteri Besar Perlis pun mereka gagal. Bukan DAP, bukan PH, tapi rakan komponen sendiri yang 'sailang'," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, insiden tersebut mencerminkan betapa lemahnya kepercayaan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional, walaupun gabungan itu sering melaungkan slogan perpaduan Melayu dan Islam.


"Pas mungkin banyak dari segi jumlah kerusi, tetapi tidak dipercayai. Mereka diberi tempat sebagai penumpang, bukan nakhoda. Pengguguran MB dari kalangan Pas ini membuktikan bahawa dominasi Pas dalam PN hanyalah satu ilusi politik yang dijual kepada penyokong," tegasnya.


Syahrunnaim turut membandingkan situasi itu dengan kerajaan perpaduan di Perak yang menurutnya lebih stabil dan matang walaupun melibatkan pelbagai parti dengan latar belakang berbeza.


"Di Perak, walaupun PH lebih dominan dalam Kerajaan Perpaduan negeri, tiada rakan komponen yang dikhianati. Tidak ada “sailang” kuasa. Semua parti diraikan dan dilibatkan dalam semangat persefahaman. Tiada siapa dihina seperti Pas dalam PN. Kerajaan Perak kekal teguh, utuh dan stabil," katanya.


Beliau menambah, dakwaan Pas bahawa Kerajaan Perpaduan bersifat rapuh ternyata meleset, apabila kerjasama antara parti dalam kerajaan terbukti lebih ikhlas dan bebas daripada tikaman belakang atau rampasan kuasa.


Sehubungan itu, beliau menggesa Pas agar berhenti memainkan drama kuasa yang menurutnya semakin muak di mata rakyat.


"Bukan PH yang khianat Pas. Bukan DAP yang rampas jawatan. Tapi rakan komponen mereka sendiri," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page