top of page

'Bersatu hilang arah, dilihat lebih gemar berebut jawatan'

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2d
  • 2 min read

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin hilang arah apabila tumpuan parti itu kini lebih kepada perebutan jawatan berbanding perjuangan asal untuk membela orang Melayu, kata bekas Ketua ARMADA Batu Pahat, Mohd Farhan Norzib.


Selain itu, katanya, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat semakin kehilangan sokongan daripada rakan-rakan lama yang pernah bersama-sama menubuhkan parti tersebut.


"Pimpinan parti lebih tertumpu kepada usaha untuk kekalkan kedudukan dan jawatan politik. Ini menyebabkan ahli bawahan mula tawar hati untuk meneruskan perjuangan.


"Ramai yang rasa Bersatu sekarang sudah berubah arah. Dah jadi parti politik sepenuh masa, iaitu bermain politik. Bukan lagi parti yang betul-betul memperjuangkan kepentingan orang Melayu.


"Walaupun Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai sokongan dalam kalangan sebahagian orang Melayu yang melihat beliau tokoh berpengalaman untuk memimpin negara, sokongan itu lebih bersifat kepada individu dan bukannya kepada parti Bersatu secara keseluruhan.


"Dan kalau kita tanya orang Melayu di bawah, mereka mungkin masih nampak Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri. Tapi itu tidak bermaksud mereka menyokong Bersatu sebagai parti," katanya ketika diminta mengulas perkembangan semasa dalam parti tersebut.


Imej Bersatu dalam kalangan anak muda juga, kata beliau, semakin pudar kerana parti itu dilihat terlalu sibuk dengan perebutan kuasa berbanding membawa agenda baharu untuk generasi muda.


"Tapi kita kena faham juga. Orang Melayu kebanyakan melihat kepada jenama Perikatan Nasional, bukannya Bersatu. Dalam masa yang sama mereka tidak pula melihat Pakatan Harapan sebagai alternatif.


"Misalnya di Johor mereka memahami bahawa “Perikatan Nasional adalah Melayu”," ujarnya menjelaskan kefahaman dan garis politik orang Melayu di Johor yang semakin mengelirukan.


Dalam pada itu, Farhan berpendapat bekas pemimpin kanan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat mungkin menubuhkan parti baharu dan akan kekal berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).


"Jika perkara itu berlaku situasi ini boleh menyebabkan persaingan kerusi antara Bersatu dan parti baharu dipimpin Hamzah. Kemungkinan besar akan berlaku perebutan kerusi dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.


"Itu akan jadi satu dilema besar dalam gabungan tersebut. Bayangkan ada tiga parti Melayu dalam Perikatan Nasional, iaitu Pas, Bersatu dan parti baharu Hamzah.


"Ini cabaran baru yang perlu dihadapi oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Dr Samsuri," ujarnya.


Beliau juga tidak menolak berlaku persaingan lebih besar antara Muhyiddin dan Hamzah sekiranya parti baharu itu benar-benar ditubuhkan dan mendapat sokongan dalam Perikatan Nasional.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page