top of page

Bersatu hadapi pengakhiran politik menjelang PRU 16?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Perikatan Nasional (PN) berdepan ketidaktentuan masa depan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai 'cangkerang kosong' yang tidak lagi berfungsi sebagai jentera politik berkesan, kata Datuk Lokman Noor Adam (gambar).


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, cawangan-cawangan Bersatu di seluruh negara dikatakan lesu atau langsung tidak aktif.


Hal itu, katanya, sedang diperhatikan oleh Pas, sekutu Bersatu dalam PN.


Ujar Lokman, kemerosotan itu bukan bermula semalam, malah sudah 'mereput jauh' sebelum mantan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat.


"Kini, keruntuhan itu semakin jelas kelihatan. Tidak perlu berselindung. Sebuah parti politik tanpa jentera akar umbi bukanlah parti, (tetapi) ia adalah liabiliti. Bersatu hari ini menepati gambaran tersebut.


"Pas bukan buta. Ia jelas membaca keadaan dan bertindak tegas. Usaha mereka untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN bukanlah soal cita-cita, tetapi keperluan.


"Mengapa? Kerana tiada gabungan yang serius mampu bergantung kepada rakan yang menjadi beban. Pas melihat kekosongan itu dan mengisinya sebelum semuanya tenggelam," katanya dalam satu kenyataan.


Lokman menambah, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, susunannya mudah apabila Pas membawa jentera di lapangan, manakala Bersatu menyediakan sumber kewangan serta memainkan peranan sebagai 'abang besar' dalam gabungan tersebut.


Namun pada waktu ini, kata Lokman, Bersatu tidak lagi mempunyai kelebihan apabila menghampiri Pilihan Raya Umum ke 16 yang mungkin diadakan pada hujung tahun ini atau selewatnya tahun 2027.


"Ilusi itu kini telah hancur. Hari ini, Bersatu berdepan kekangan kewangan dan lumpuh dari segi struktur. Sementara itu, Hamzah masih terumbang-ambing tanpa haluan jelas.


"Parti baharu yang sering diperkatakan masih belum diumumkan, sekali gus menguatkan persepsi bahawa beliau berada dalam keadaan tidak menentu.


"Kesimpulannya keras, tetapi sukar dielakkan. PN sedang menuju ke arah tidak relevan, dan jika tiada perubahan drastik, PRU16 bukan sekadar kekalahan (tetapi) ia bakal menjadi pengakhiran politik," ujar beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page