Had mengundi 18 tahun yang dijangka akan mula dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dijangka memberi cabaran sengit kepada parti-parti yang telah berdekad lamanya berjuang dalam sistem politik Malaysia.
Sesetengah parti dianggap terlalu konservatif dan tidak sejalan dengan inspirasi 7 juta pengundi muda, namun ada pula sebahagian lain yang mengambil perkataan Muda untuk dijadikan nama parti baharu.
Bagi ikon anak muda, Adam Adli Abdul Halim, oleh kerana Undi 18 terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan akibat desakan anak muda, sama ada dalam gerakan politik mahu pun NGO, maka tidak mustahil golongan tersebut mahukan parti politik sedia ada meremajakan hala tuju perjuangan mereka untuk golongan muda.
"Ada 7 juta lebih pengundi baru. Hal mengundi 18 tahun ini diperjuangkan sejak zaman Pakatan Harapan (PH) melalui kerajaan dan juga NGO. Dia dah timbul kesedaran politik yang besar.
"Jadi tak kan dalam berjuta orang yang ada kesedaran politik itu tak ada yang punya idea tubuhkan parti sendiri yang melambangkan identiti? Itu mungkin salah satu sebab kenapa muncul parti Muda.
"Adakah hal ini menjadi panggilan (peringatan) buat PH untuk rejuvenate kembali parti? Bagi saya tak ada masalah, itu satu bentuk panggilan yang bagus.
"Saya ingat kita perlu pastikan ada lapisan baharu dalam organisasi parti dan politik. Manakala PH pula, dalam isu menampilkan wajah baharu untuk sentiasa segar, saya tak nampak ia menjadi hal yang serius (kerana PH mempunyai pemimpin muda)," katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan.
Menurut Adam lagi, mungkin buat parti konservatif seperti Umno dan Pas untuk menyetujui perjuangan anak muda merupakan sesuatu yang memerlukan pemikiran semula.
Namun, katanya, bagi parti yang terbuka dan sering memberi peluang kepada anak muda seperti KEADILAN, Amanah dan DAP, tidak ada banyak masalah mengubah fokus kepada isu-isu selingkar anak muda seperti perluang pekerjaan pada era Kecerdasan Buatan, robotik dan sebagainya yang kerap diperkatakan kebelakangan ini.
"Ini identiti yang dibawa oleh KEADILAN, DAP dan Amanah. Sentiasa menampilkan orang muda yang ada idea baru dan segar (sebagai pemimpin).
"Berbanding parti politik seperti Umno, Pas yang lebih konsevatif, itu mereka mungkin melihat satu masalah berat untuk ditangani, misalnya peluang untuk orang muda (beraksi sebagai pemimpin)," katanya lagi.
Comentarios