
Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi bagi menyokong usaha kerajaan dalam membela nasib pesawah miskin di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyalurkan peruntukan itu secara terus kepada pesawah-pesawah dalam masa terdekat.
Peruntukan tersebut disalurkan susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan penyelarasan harga lantai belian padi dari RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik mulai 16 Februari ini.
"Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (pemilik BERNAS) dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.
"Insya-Allah, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Mohamad pada sidang Parlimen hari ini mengumumkan penyelarasan harga lantai belian padi tersebut di Parlimen dengan kerajaan turut bersetuju mengekalkan harga runcit beras tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini BERNAS telah bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM60 juta pada penghujung 2022 untuk membantu golongan pesawah miskin.
"Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela.
"Sebelum ini, BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin," katanya.
Anwar berkata bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, kerajaan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksimum beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
"Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah.
"Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200," kata Anwar sambil menambah usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama beliau tatkala diberi amanah mengemudi negara.
コメント