top of page

Berlori calon PM: Pas ‘cakap tak serupa bikin’, PN sukar lantik pengerusi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang menyifatkan kenyataan Pas mendakwa mempunyai ‘berlori’ calon Perdana Menteri sebagai retorik politik yang tidak selari dengan realiti sebenar kepimpinan Perikatan Nasional (PN).


Setiausaha AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf Amram, berkata kecelaruan PN memuktamadkan pelantikan pengerusi gabungan itu walaupun selepas hampir dua minggu Muhyiddin Yassin meletak jawatan jelas memperlihatkan ketidakteraturan dalaman yang serius.


"Pas bercakap seolah-olah mereka mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh dan siap sedia. Tetapi hakikatnya PN sendiri gagal menyelesaikan isu paling asas dalam gabungan mereka.

Abshar Nurasyraf Amram
Abshar Nurasyraf Amram

"Jika soal kepimpinan tertinggi pun tidak mampu diputuskan, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia mentadbir negara?" katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, Pas sering melaungkan soal kesiapsiagaan untuk mentadbir negara, namun realiti mutakhir menunjukkan mereka bercakaran mengurus ‘rumah sendiri’, khususnya dalam menyelaraskan kepimpinan dan hala tuju gabungan PN.


"Kegagalan ini menghantar mesej yang jelas kepada rakyat bahawa PN masih dibelenggu konflik dalaman, perebutan kuasa dan dominasi sesama ‘kabilah’, bukannya fokus kepada agenda peduli rakyat atau pembangunan negara," katanya.


Tambah Abshar, sebuah gabungan yang benar-benar bersedia untuk memerintah tidak akan membiarkan isu asas kepimpinan berlarutan tanpa sebarang penyelesaian konkrit, apatah lagi dalam tempoh yang lama.


Beliau turut menegaskan bahawa dalam keadaan semasa, PN gagal menampilkan diri sebagai sebuah gabungan alternatif kerajaan yang stabil dan diyakini rakyat.


"PN bukan sahaja gagal menunjukkan kejelasan kepimpinan, malah juga gagal memainkan peranan besar dan berkesan di peringkat legislatif dan eksekutif, termasuk di Parlimen, dalam menangani isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat," ujarnya.


Menurut beliau lagi, ketiadaan hala tuju yang jelas, masalah dominasi dalaman serta ketidakmampuan mengurus perbezaan pandangan membuktikan PN belum matang sebagai sebuah gabungan pada peringkat nasional.


"Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang stabil, jelas hala tuju dan mampu bekerja secara kolektif untuk negara, bukan sebuah gabungan yang masih bercelaru dan terperangkap dengan masalah dalaman sendiri," akhirinya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page