top of page

'Berkempen elak tohmah, fitnah, rakyat nilai prestasi pemimpin' - Dr Dzul

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 days ago
  • 2 min read
DS Dr Dzulkefly (kanan) membantu calon PH berkempen secara politik nilai dalam PRN Negeri Sembilan
DS Dr Dzulkefly (kanan) membantu calon PH berkempen secara politik nilai dalam PRN Negeri Sembilan

Sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semua pihak diingatkan agar tidak mencemarkannya dengan budaya tohmahan, fitnah dan retorik politik yang melampau, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Pengarah Pilihan Raya AMANAH itu menyifatkan, persaingan politik merupakan perkara biasa dalam demokrasi, namun ia tidak sepatutnya melampaui batas sehingga mencetuskan fitnah terhadap lawan politik.


"Kalau dulu mahu menang bersama, hari ini kita menjadi lawan (dalam) persaingan, (itu) tidak mengapa, tapi jangan sampai melampau dalam membuat tohmahan dan fitnah.


"Elakkan semua itu kerana yang pentingnya dalam pilihanraya ini bukannya kita berlawan untuk tengok siapa punya suara lebih kuat, pekikan yang lebih kuat, atau janji-janji yang boleh ditaburkan.


"Yang penting, selepas kita diberi kuasa mentadbir Negeri Sembilan, rakyat akan menilai bagaimana peranan dan prestasi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan Exco kerajaan negeri.


"Itulah yang menjadi ukuran sama ada rakyat mahu terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) atau beralih sikap," katanya dalam satu siaran video.


Menurut Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan, prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini amat baik, malah disifatkannya mengatasi pencapaian menteri-menteri besar terdahulu.


"Saya lebih senang untuk rakyat perhatikan apa yang mereka telah lakukan dan kalau ada pun yang membuat tohmahan, mereka bukan sempurna.


"Namun saya percaya setelah saya memerhatikan prestasi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tok Min, saya mendapati bahawa proses prestasi mereka adalah sangat menggalakkan, memberangsangkan dan boleh diberikan pujian dan pengiktirafan sewajarnya," ujarnya yang juga Menteri Kesihatan.


PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan kelainan apabila tiga gabungan politik utama tampil dengan strategi berbeza bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


PH muncul satu-satunya gabungan yang meletakkan calon di ke­semua 36 kerusi manakala, BN hanya bertanding di 25 kerusi selepas mencapai persefahaman dengan Perikatan Nasiona; (PN) yang mengisi baki 11 kerusi.


Pada PRN 2023, gabungan PH dan BN membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN.


PH memenangi 17 kerusi, manakala BN memperoleh 14 kerusi dan PN pula memenangi baki lima kerusi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page