top of page

Berita palsu boleh cetus ketidakstabilan masyarakat, negara

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
7 hours ago
3 min read
ADN Mariam pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang
ADN Mariam pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang

Penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat bukan lagi sekadar isu komunikasi digital, malah berpotensi mencetuskan ketidakstabilan masyarakat sehingga memberi kesan kepada pentadbiran dan negara, kata Ahli Dewan Negeri Meru, Mariam Abdul Rashid.


Menurutnya, perkembangan teknologi digital yang semakin pesat menjadikan penyebaran maklumat berlaku dalam tempoh amat singkat, sekali gus meningkatkan risiko berita palsu, fitnah dan propaganda tidak wajar mempengaruhi pemikiran masyarakat.


"Jangan terus forward. Dapat forward, forward, forward. Ini yang berbahaya kepada kita kerana ia boleh membawa kepada ketidakstabilan masyarakat," katanya ketika berucap pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang di Dewan Meru, Klang, semalam.


Mariam berkata, kesan penyebaran maklumat tidak bertanggungjawab boleh menjadi lebih serius apabila masyarakat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak tepat tanpa menilai kesahihannya terlebih dahulu.


Beliau memberi contoh keadaan di sebuah negeri yang menurutnya menjadi tidak stabil selepas berlakunya penyebaran maklumat tidak bertanggungjawab, sehingga mencetuskan perkembangan politik dan kemelut yang berlarutan termasuk isu berkaitan perlembagaan.


"Akibat daripada mereka yang menerima maklumat yang salah, kemudian membuat satu pilihan, berlaku keadaan sebegini sehingga masih belum dapat diselesaikan dan melibatkan sampai kepada krisis perlembagaan.


"Ini amat bahaya kepada negara kita. Jangan sampai dalam negara kita berlaku perkara-perkara sebegini," katanya.


Justeru, beliau menegaskan internet tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kemudahan teknologi, sebaliknya pengguna perlu memahami kesannya terhadap keselamatan keluarga, kewangan, privasi, kesejahteraan masyarakat dan kestabilan sosial.


Mariam berkata, antara cabaran utama ialah kewujudan akaun palsu yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menyebarkan propaganda, fitnah serta serangan peribadi.


Malah, katanya, terdapat individu yang mampu mengendalikan sehingga 100 akaun palsu bagi tujuan tertentu, sekali gus menunjukkan bagaimana teknologi boleh disalahgunakan untuk mempengaruhi masyarakat.


Dalam pada itu, beliau berkata, ancaman digital turut melibatkan penipuan kewangan apabila akaun palsu digunakan untuk memperdaya mangsa melalui aplikasi komunikasi, termasuk tawaran sewaan rumah palsu sehingga mangsa membayar wang pendahuluan bagi rumah yang tidak wujud.


Menurutnya, keadaan itu menunjukkan semua lapisan masyarakat, sama ada golongan muda mahupun warga emas, berpotensi menjadi sasaran jenayah digital.


"Keselamatan digital bukan lagi soal teknologi semata-mata. Ia berkait dengan keselamatan keluarga, kewangan, privasi dan kesejahteraan masyarakat, termasuk kesihatan mental," katanya.


Mariam turut menegaskan masyarakat perlu mempunyai kemampuan untuk menilai maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kerana kemajuan digital bukan hanya diukur melalui kecanggihan teknologi, tetapi sejauh mana rakyat mampu menggunakan teknologi secara selamat, bijak dan bertanggungjawab.


Beliau berkata, usaha membina masyarakat celik digital tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan atau kementerian, sebaliknya perlu melibatkan kepimpinan masyarakat di peringkat tempatan.


"Di peringkat kelompok yang lebih kecil, di peringkat komuniti tempatan perlu mengadakan program kesedaran internet seperti ini," ujarnya.


Mariam turut mencadangkan agar program kesedaran internet selamat diperluaskan ke masjid, surau dan sekolah supaya masyarakat, terutama golongan muda, mendapat pendedahan mengenai risiko serta kaedah menggunakan internet dengan lebih bertanggungjawab.


Beliau berkata, ibu bapa juga mempunyai peranan penting dengan mengambil tahu aplikasi yang digunakan anak-anak, siapa yang mereka hubungi dan aktiviti yang dilakukan ketika berada dalam talian.


Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 1 September 2026, sebanyak 48 program Kempen Internet Selamat telah diadakan di Selangor dengan jangkauan lebih 788,440 orang. Namun, katanya, jumlah itu bukan ukuran utama kejayaan kempen berkenaan.


"Yang penting ialah ilmu diterjemahkan kepada tindakan. Kita perlu lebih berhati-hati sebelum menekan pautan dan jangan terus forward sahaja," katanya lagi.


Mariam berkata, teknologi akhirnya perlu digunakan untuk menyatukan masyarakat dan bukan menjadi alat yang memecahbelahkan rakyat, kerana masyarakat yang mampu menilai maklumat secara rasional dapat membantu mewujudkan negara yang lebih stabil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page