Berita baik Aidilfitri: STR Fasa 2 dibayar awal, penjawat awam terima bantuan RM500
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa berita baik kepada rakyat menjelang Aidilfitri termasuk pembayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua, Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam serta pesara kerajaan dan perluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa kepada lebih ramai pelajar institusi pengajian tinggi.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembayaran STR Fasa Dua akan diawalkan bermula 10 Mac ini melibatkan peruntukan kira-kira RM3 bilion kepada 5 juta penerima bagi membantu rakyat membuat persiapan Ramadan dan menyambut Aidilfitri.
"STR Fasa Dua dibayar dulu bulan April sebelum ini, tetapi kita awalkan kerana kita sambut bulan Ramadan dan Aidilfitri, jadi kita awalkan pada 10 Mac supaya dapat dinikmati menjelang Hari Raya," katanya.
Menurut Perdana Menteri pembayaran itu akan dikreditkan secara berperingkat kepada penerima yang layak.
Beliau berkata kerajaan turut menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar pada 13 Mac.
Pada masa sama, pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima RM250 pada tarikh yang sama dengan bantuan itu dikecualikan daripada cukai pendapatan, jelasnya.
"Kita ini mesti syukur kepada Allah. [Bantuan] ini termasuk pesara kerajaan dan veteran yang berpencen dan tidak berpencen pun dapat RM250 pada tarikh yang sama iaitu 13 Mac," katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan khas RM500 kepada kira-kira 70,000 petugas institusi masjid, termasuk imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju memperluas program subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada lebih banyak institusi pengajian tinggi.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu yang sebelum ini melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kini diperluaskan kepada pelajar di ASWARA, Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan, institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar pada 2026, berbanding 44,000 pelajar tahun lalu.
"Subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 untuk mengurangkan beban pelajar pendidikan tinggi awam bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan langkah memperbaiki laluan kerjaya bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Kewangan) dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau kerajaan bercadang menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5 kepada kira-kira 125,000 penjawat awam dalam kategori itu tertakluk kepada syarat mengikuti kursus khas yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Walaupun ada kenaikan ikut SSPA, tetapi ada keperluan untuk jaga kategori yang terendah ini ditingkatkan sedikit. Saya minta JPA sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5 untuk kira-kira 125,000 orang," katanya.
Beliau berkata kursus khas berkenaan dijangka mengambil masa sekitar dua minggu bagi memberi pendedahan tambahan termasuk dalam aspek teknologi maklumat sebelum kenaikan gred dilaksanakan.
"Syaratnya hanya ikut kursus khas, mungkin sekitar dua minggu atau lebih kurang begitu, supaya mereka dapat pendedahan tambahan termasuk berkaitan IT," katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan harapan supaya pelaksanaan kursus tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan bagi membolehkan kenaikan pangkat itu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun hadapan.




Comments