Beringin HTA Valley: Selangor pastikan bekalan tenaga elektrik mampan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda pembangunan industri berteknologi tinggi dengan memberi penekanan khusus terhadap keperluan infrastruktur tenaga yang stabil dan mencukupi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bekalan elektrik yang mampan merupakan asas penting bagi memastikan operasi industri berskala besar dapat berjalan lancar serta berdaya tahan dalam jangka panjang.
"Jaminan infrastruktur tenaga yang mencukupi amat kritikal bagi menyokong pelaburan industri berskala besar, khususnya dalam sektor automotif berteknologi tinggi.
"Usaha ini juga selari dengan peranan Invest Selangor dalam menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat antara Chery Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan projek utama fasa pertama pembangunan Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley) yang melibatkan kawasan seluas 200 ekar di Hulu Selangor.
Projek berimpak tinggi itu disasarkan menghasilkan sehingga 100,000 kenderaan setahun dengan nilai pelaburan mencecah RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun, selain dijangka menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
Menurut Amirudin, pembangunan Beringin HTA Valley diharap dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di Koridor Utara Selangor serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama negara.
"Saya berharap pembangunan ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan seterusnya mengukuhkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama," tambahnya.





