Beri suntikan dana pada 6 negeri termiskin sepanjang RMK12


Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berharap kerajaan dapat menyuntik dana kepada 6 negeri termiskin sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12.


Beliau berkata, suntikan lebih besar khusus kepada sekurang-kurangnya kepada 6 negeri termiskin adalah untuk mengimbangi perbelanjaan terhadap pembangunan.


"Saya gembira mendengar komitmen Perdana Menteri untuk memastikan hal ini berlaku. Selain dari geran per kapita, berdasarkan jumlah penduduk, satu jumlah tetap yang signifikan, misalnya RM500 juta atau RM1 bilion perlu diberikan kepada setiap 6 negeri termiskin setiap tahun sepanjang RMK12.


"Hanya dengan ini keseimbangan pembangunan mungkin boleh berlaku," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.


Pada masa sama, beliau mempersoalkan perancangan kerajaan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar di negeri-negeri yang pertumbuhan ekonominya di bawah kadar purata Malaysia.


"Sabah dan Sarawak misalnya lebih rendah KDNK daripada Perlis, meskipun belanjawan negeri mereka besar, ini bermakna kurangnya suntikan projek yang bermakna di sana.


"Kalau boleh saya cadangkan kerjasama strategik kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bagi mengatasi masalah khusus misalnya dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan penduduk dan perancangan pembangunan negeri," katanya.


Dalam pada itu, Amin berkata, adalah wajar satu amalan tatakelola baik dibuat menerusi pembentangan pelaporan tentang prestasi RMK11 sebelum ini.


"Dewan perlu tahu tentang ini, kerana padanya ada aspek penilaian lebih cermat dapat kita buat. Kita ambil contoh Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Cabang di Parlimen Padang Besar, patut siap pada 2014 semasa RMK10, tidak siap sampai sekarang.


"Hospital Padang Besar dijanjikan sejak RMK-9, pecah tanah berkali-kali tapi belum ada seketul bata diletak di sana, banyak lagi belum dicapai, misalnya RMK11 yang menjanjikan lebih 12,000 peluang pekerjaan di Perlis, masih belum dapat diterjemahkan sepenuhnya.


"Kita mesti ingat, perancangan yang baik hanya boleh dikatakan berjaya bila ia dilaksanakan dan mencapai tujuannya.


"Tiga masalah utama boleh ditangani ialah kalau tengok analisis, kita kekurangan pekerja mahir, kekurangan kontraktor yang mempunyai cukup modal dan pengurusan projek yang baik.


"Kita bukanlah lemah sangat dalam hal ini, kita ada IKM, IKBN tetapi yang diperlukan adalah menyusun tenaga kerja, beri suntikan modal melalui geran-geran kerajaan dan mengajar mereka lebih baik dalam aspek pengurusan supaya projek dapat dilaksanakan dan siap pada masanya, lebih baik bayar lebih sedikit, asalkan projek siap daripada bayar lebih tapi lambat siap, perkara ini berlaku ialah kerana lemah semak imbang," katanya.


Amin turut mendedahkan bahawa RMK12 secara keseluruhannya bernilai RM1.5 trilion.


"Sebenarnya bawah RMK11 pun kita rancang lebih RM1 trilion. Bagaimanapun kita perlu sedar, daripada jumlah ini, kira-kira 95 hingga 99 peratus hasil kerajaan diguna untuk perbelanjaan mengurus.


"Manakala bakinya 1 hingga 5 peratus digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, selebihnya kita perlu berhutang saban tahun sehingga hutang ini menghimpit diri pada hari ini. Ini corak perbelanjaan yang berlaku sebelum PRU-14 meskipun sesetengah mendakwa GST dapat meningkatkan hasil kerajaan.


"Persoalan besar perlu diberi penekanan adalah untuk apa hasil ini dibelanjakan. Bila ditelusuri semula tempoh 2009 hingga 2017, jelas bantuan baru diumumkan di bawah program 1Malaysia, ia dibuat melalui agihan pelbagai bentuk subsidi sebelum itu misalnya pelupusan subsidi gula.


"Jika teliti rekod perbelanjaan kerajaan dari tahun ke tahun, ada pengurangan subsidi dan perbelanjaan sosial daripada RM74 bilion pada 2009 kepada RM28 bilion pada 2017, satu pengurangan subsidi cukup besar.


"Nisbah perbelanjaan pembangunan berbanding hasil menyusut dari 12 peratus pada 2009 kepada 1 hingga 5 peratus menjelang PRU-14, selebihnya perbelanjaan pembangunan dibuat secara berhutang.


"Maka tidak hairan Tan Sri Idris Jala pernah menyebut sekiranya kerajaan meneruskan corak perbelanjaan sedemikian, kita mungkin akan bankrap pada 2019, maksud beliau sudah tentulah kita berada dalam situasi kewangan meruncing dan itu realitinya selepas PRU-14," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER