Beri ruang kepada KPM jayakan reformasi pendidikan - Wanita KEADILAN Terengganu
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Terengganu menyambut baik langkah segera Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin pelajar di seluruh negara.
Ketuanya Armila Alias (gambar) menerusi satu kenyataan menyeru, semua pihak khususnya ahli politik supaya berhenti mempolitikkan isu keselamatan pelajar dan memberi ruang kepada KPM melaksanakan agenda Reformasi Pendidikan seperti diumumkan di Parlimen baru-baru ini.
"Ada yang beranggapan reformasi pendidikan ini sebagai tergesa-gesa, ada pula berpendapat inisiatif ini terlalu lewat. Golongan ini jelas gagal memahami tahap kritikal isu keselamatan pelajar di sekolah dan kelemahan yang perlu ditangani segera.
"Tidak wajar usaha yang mahu digerakkan ini diperlekehkan demi kepentingan politik masing-masing," tegasnya.
Menerusi kenyataan sama Armila turut menyatakan sokongan penuh pihaknya terhadap lima fokus utama reformasi pendidikan meliputi kesihatan mental pelajar, pencegahan bahan terlarang, suara murid, pengukuhan ekosistem sekolah selamat dan kolaborasi rentas agensi seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau turut menghargai keprihatinan kerajaan melalui Belanjawan 2026 yang menambah peruntukan bagi pemasangan CCTV di sekolah, pelantikan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa.
"Langkah konstruktif ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI Memastikan perjalanan sistem pendidikan kita sentiasa berjalan dengan baik," tambahnya.









Comments