Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan supaya melaksanakan semula moratorium, subsidi upah dan menyediakan komputer riba untuk pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata PKP 3.0 yang berkuat kuasa bermula 12 Mei sehingga 7 Jun dilihat akan memberi kesan terhadap kehidupan serta ekonomi rakyat.
"Justeru ABIM menggesa moratorium automatik khususnya untuk pinjaman pembelian kereta dan rumah untuk meredakan keresahan rakyat.
"Moratorium secara automatik ini penting untuk memperbaiki dan menstabilkan semula kewangan rakyat yang semakin terhimpit sejak tahun lalu dan akan bertambah merosot susulan pengumuman PKP terkini.
"Pemberian moratorium hanya bersifat sementara dan para peminjam akan mula membayar kembali pinjaman apabila aktiviti ekonomi kembali pulih seperti sedia kala," katanya.
Pada masa sama, ABIM juga menggesa subsidi upah diberi kepada para majikan khususnya yang terhenti kegiatan ekonominya.
"Subsidi upah ini penting untuk majikan serta para peniaga kecil memenuhi komitmen gaji bulanan untuk pekerja-pekerja mereka.
"Ini sedikit sebanyak membolehkan mereka memenuhi keperluan asasi para pekerja mereka," katanya.
Selain itu, ABIM juga menggesa skim penyediaan komputer riba dalam kalangan murid untuk mengatasi kesenjangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diagihkan segera khususnya dalam kalangan murid berlatarbelakangkan B40.
"Komitmen ini penting untuk mengelakkan situasi kemiskinan digital yang boleh menjejaskan akses kepada pendidikan bermutu apa lagi Dasar Pendidikan Digital telah pun diumumkan Perdana Menteri pada Mac lalu," katanya.
コメント