Kejatuhan matawang ringgit yang terburuk dalam dua dekad dan krisis kenaikan harga barang keperluan perlu dibahas dalam sidang Parlimen sesi Oktober 2022.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah pun mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar dibentangkan usul mengenai kedua dua isu besar tersebut dalam sidang Dewan Rakyat pada awal Oktober ini.
"Saya telah mengutus surat kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan segera untuk menangani krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah matawang negara yang menjejaskan kehidupan rakyat.
"Permasalahan ini ternyata amat mengesankan rakyat serta negara dan ia perlu ditangani dengan kadar segera," katanya.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, sekiranya pihak kerajaan mempunyai keutamaan lain maka pihak pembangkang boleh mengusulkannya dengan sokongan kerajaan.
"Justeru itu, saya mencadangkan sama ada kerajaan membawa usul khas terkait permasalahan ini atau memberi laluan kepada saya selaku Ketua Pembangkang untuk mengemukakannya.
"Saya turut mencadangkan agar permasalahan ini diberi keutamaan untuk dibahaskan dalam minggu pertama sidang parlimen yang akan bermula 3 Oktober depan," katanya lagi.
Untuk rekod, Dewan rkayat akan bersidang selama 32 hari bermula 3 Oktober 2022 - 29 November 2022. Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Dewan Rakyat ini adalah yang terakhir pada tahun ini.
Comments