Kerajaan perlu memastikan suara penjawat awam didengar dan dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar kementerian.
Ketua Wanita KEADILAN, Senator Fadhlina Sidek berpendapat sedemikian dalam kes cikgu Mohd Fadli Salleh yang sedang dalam pertimbangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dikenakan tindakan tatatertib atau tidak.
"Saya ikuti perkembangan kes Cikgu Fadli dengan sangat berhati-hati. Umum sudah mengetahui beliau cukup vokal dalam isu pendidikan di media sosial.
"Tiada apa yang mengejutkan dengan isu-isu dibawa oleh beliau kerana isunya adalah sangat fundamental berkaitan kebajikan para pelajar dan pedagogi asas isu pendidikan.
"Saya yakin beliau jelas tentang impak menjadi vokal sebegini atas kapasiti penjawat awam.
"Namun apa yang lebih menarik adalah bagaimana respon Kementerian dalam isu ini.
"Apakah Kementerian akan meneruskan tindakan mengikut tatacara lembaga tatatertib sedang beliau sudah menempa simpati dan kemarahan netizen terhadap Kementerian? Sehingga Dr Maszlee Malik terpaksa menjawab dan menerangkan impak isu ini," katanya dalam kenyataan.
Fadhlina tertanya tanya sama ada tindakan tatatertib akhirnya akan diambil ke atas cikgu Fadli.
Sekiranya tindakan tersebut diambil, katanya, maka akan terputus komunikasi dua hala antara kakitangan awam dan pihak kementerian pada masa hadapan, sekali gus merugikan negara kerana arahan hanya diberikan dari atas dan tidak mengetahui apa yang bergolak di bawah.
"Saya tidak risau tentang proses. Saya cukup terbuka untuk meletakkan kepercayaan baik Cikgu Fadhli mahupun Kementerian telah melalui proses masing-masing.
"Tetapi kebimbangan saya adalah jaminan suara penjawat awam, akses penjawat awam untuk melaporkan kebimbangan dan ruang memberikan pandangan," katanya.
Selain itu, Fadhlina juga bimbang dengan jawapan menteri Dr Radzi Jidin yang langsung tidak profesional dan ketidakwajaran ahli politik itu untuk dilantik sebagai menteri seterusnya.
Lebih jauh, kata Timbalan Ketua Wanita Pakatan harapan itu adalah isu pendidikan negara telah menjadi krisis dan terdapat keperluan segera untuk menyelesaikannya.
"Dalam krisis yang melibatkan cikgu Fadli ini, ia bukan soal batang tubuh beliau sahaja, ia melibatkan kewibawaan sebuah kementerian kanan dalam isu paling kritikal dalam negara. Ia juga adalah isu jaminan suara penjawat awam dan efisiensi kita ketika mengurus krisis asas," katanya lagi.
Justeru, Fadhlina berharap kerajaan mengembalikan suara guru, beri jaminan teguran penjawat awam tidak diambil tindakan dan kembalikan sistem pendidikan negara yang lebih baik untuk anak-anak generasi pewaris masa hadapan.
Comments