Beri insentif kepada PBT guna amalan baik konservasi tenaga
- Suara Keadilan

- Oct 11, 2023
- 1 min read

Rang Undang Undang (RUU) bagi menggubal akta mengawal selia penggunaan cekap tenaga dan konservasi tenaga diluluskan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, RUU berkenaan berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.
Melalui RUU itu, kerajaan katanya akan turut memberikan penekanan dari aspek pengurusan permintaan tenaga khususnya penggunaan tenaga dengan cekap dan berkesan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung ketika membahaskan usul itu berkata Kerajaan melalui RUU itu telah menunjukkan dengan jelas bahawa keutamaan negara adalah menuju kepada pemangkin pembangunan mampan dan merancak pertumbuhan ekonomi hijau melalui pengurusan peralihan tenaga dan kecekapan tenaga selain mendepani isu-isu terkait perubahan iklim.
Beliau sementara itu mencadangkan supaya kerajaan menambah senarai peralatan elektrik cekap tenaga di bawah inisiatif SAVE sebagai satu langkah untuk menggalakkan lebih banyak pembelian peralatan elektrik cekap tenaga.
"Saya menerima maklum balas bahawa bil elektrik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah pun naik.
"Saya ingin mencadangkan supaya geran ataupun sokongan teknikal diberikan kepada PBT yang mengamalkan amalan baik konservasi tenaga supaya di samping mereka mencapai penjimatan tenaga, mereka juga mendapat ganjaran untuk menaiktaraf sistem pengurusan tenaga mereka.
"Saya berharap dengan RUU ini akan dapat membantu kerajaan meningkatkan kecekapan tenaga sebagai strategi penting bagi mencapai sifar karbon lebih awal dan mengurangkan penggunaan tenaga secara lestari," katanya.
Untuk rekod, melalui penguatkuasaan RUU itu ke atas sektor industri, komersial dan domestik (kediaman) hingga 2050 kerajaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga dianggarkan berjumlah 2,017 juta gigajoule atau bersamaan RM97.1 bilion dan mengurangkan pelepasan karbon.









Comments