
KEADILAN Sarawak menggesa kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Abdul Rahman Johari Tun Haji Abang Openg supaya mengetepikan terlebih dahulu sebarang hasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Jame Stephen berkata, PRN wajar ditangguhkan sehingga bulan Februari 2022 setelah darurat diisytiharkan tamat, memandangkan pemberian dos ketiga vaksin belum lengkap sepenuhnya.
"Fasa pandemik kini juga telah membuktikan kelemahan sistem kesihatan hospital di negara ini dan disamping itu banyak projek pembinaan hospital yang tidak berjaya disiapkan sepenuhnya.
"Barisan hadapan juga telah mencapai tahap maksima bekerja dalam usaha mengendali kes kemasukan dan peningkatan kes kematian pesakit semenjak 18 bulan yang lalu," katanya.
Tambahnya, hospital-hospital juga menghadapi kesulitan dari segi kelengkapan peralatan seperti bekalan mesin oksigen, ventilasi dan pam picagari.
"Kita amatlah terhutang budi dan menghargai pengorbanan para doktor, jururawat dan pekerja kesihatan hospital yang telah membanting tulang menyelamatkan nyawa rakyat dalam perjuangan menangani virus ini.
"Sekiranya PRN diteruskan pada masa terdekat dengan keadaan pandemik yang belum dapat dikawal sepenuhnya, dikhuatiri pisang akan berbuah dua kali seperti tragedi yang berlaku pada PRN Sabah yang dianjurkan pada bulan September 2020.
"Tindakan ini akan membuahkan hasil yang tidak bermanfaat dan mementingkan diri sendiri oleh pihak berkuasa," katanya.
Pada masa sama, Jame juga menyifatkan dalam jangka masa sehingga Sambutan Hari Natal, pengundi-pengundi pasti ingin dan sudah merancang untuk balik ke kampung menziarahi keluarga dan sanak saudara sepanjang tempoh perayaan tersebut dan juga sambutan Tahun Baru Cina.
"Perkara-perkara seperti beratur dalam barisan yang panjang, mengikut langkah-langkah SOP, permohonan cuti mengundi, dan perjalanan ke destinasi mengundi adalah antara faktor yang dititikberatkan oleh pengundi-pengundi dan harus dipertimbangkan sewajarnya," katanya.
Malahnya, katanya, ini termasuk pengundi-pengundi yang berumur melebihi 60 tahun yang menghidapi komorbiditi, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan juga kawasan yang telah menerima vaksin Sinovac dan ditawarkan untuk menerima dos tambahan ketiga iaitu ‘Booster Dose’.
"Perkara tersebut juga telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Sarawak adalah negeri yang menerima vaksin Sinovac terbesar dengan populasi melebihi 70 peratus telah menerima dos kedua vaksin ini.
"Walaubagaimanapun, tahap kemasukan pesakit ke hospital masih tinggi dan membimbangkan kerana penularan jangkitan dikalangan dan termasuk orang muda tanpa komorditi sebelumnya, menunjukkan bahawa pemberian dos tambahan amatlah digalakkan.
"Kesimpulannya, saya mendesak agar kerajaan negeri melaksanakan pemberian dos ketiga ‘Booster Dose’ kepada seluruh rakyat Sarawak diutamakan terlebih dahulu.
"Rakyat Sarawak berharap agar kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan Ketua Menteri Sarawak mengambil berat tentang perkara ini dengan lebih serius supaya seluruh rakyat Sarawak menerima vaksin dengan lengkap. Kesihatan dan keselamatan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan tanggungjawab kita bersama," katanya.
Comentarios